Penjawat awam dalam perkhidmatan negeri Pulau Pinang akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,000 sempena Aidilfitri ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pemberian bantuan khas kewangan kepada 3,741 penjawat awam negeri itu melibatkan jumlah RM7.55 juta.

Bantuan khas kewangan sebanyak 0.75 bulan ini akan dipecahkan kepada dua bayaran iaitu 0.5 bulan gaji kepada semua penjawat awam yang tiada rekod disiplin manakala tambahan 0.25 bulan gaji lagi akan diberikan kepada penjawat awam yang memuaskan prestasinya.

"Iaitu tidak mengambil cuti sakit swasta melebihi satu hari, kad perakam waktu kekal berwarna kuning dan tidak diluluskan cuti sakit tambahan di bawah Peraturan 17(a), Perintah Am Bab C dari tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM300 akan diberikan kepada penyelia, guru dan staf Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Agama Rakyat (KAFA Integrasi), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Negeri dan Sekolah Persendirian Cina Negeri Pulau Pinang.

Maahad Tahfiz, Sekolah Pondok dan Tadika Islam pula menerima bayaran RM200 sebagai satu pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan yang telah diberikan terhadap perkhidmatan masing-masing, katanya.

Lim berkata pemberian bantuan khas kewangan itu akan dibuat pada 20 Jun ini.

- Bernama