Gerakan Pulau Pinang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng jika terus memburuk-burukkan kerajaan sebelumnya pimpinan BN.

“Gerakan hormat pada kebebasan individu untuk bersuara tetapi kebenaran mesti dikemukakan dan penyelewengan fakta mesti dihentikan,” kata Pengerusi Biro undan-undang dan hak asasi Gerakan Baljit Singh.

Dalam kenyataan hari ini, Baljit juga membangkitkan projek Tanjung Pinang dan tanah Lebuh Raya Jelutong yang sering dirujuk.

Katanya, 980 ekar tanah Tanjung Pinang yang dikatakan “dijual” RM1 sekaki persegi bawah kerajaan BN sebelum ini sebenarnya tidak tepat kerana tiada tanah negeri dijual dan pembangunan dibuat atas tanah tambak.

Malah, katanya, 37 peratus tanah tampak itu kemudian kembalikan kepada kerajaan negeri secara percuma.

Berkaitan tanah untuk Lebuh Raya Jelutong yang dijual pada harga RM20 kaki persegi pula, Baljit berkata penswastaan itu dibuat 20 tahun lalu yang tanahnya jauh lebih murah ketika itu.

“Kerajaan sekarang hanya minat memburuk-burukkan kerajaan reputasi kerajaan terdahulu.

“Sebaliknya, mereka yang telah menjual lebih banyak tanah di Pulau Pinang antara tahun 2011 hingga 2017 (lebih kurang enam tahun) berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Baljit turut berkongsi carta menunjukkan penjualan tanah untuk setiap tahun bawah pimpinan DAP, dengan yang paling tinggi dikatakan bernilai 27 bilion pada 2015.