Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir 2014 sedih sambut Aidilfitri di ruman transit
Diterbitkan:  Jun 10, 2017 11:40 AM
Dikemaskini: Jun 11, 2017 5:12 AM

Perasaan sedih terus menyelubungi 14 keluarga mangsa banjir Disember 2014 apabila tahun ini, buat kali ketiga, mereka masih menyambut Aidilfitri di pusat pemindahan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Etnobotani, di Gua Musang.

Mereka adalah kumpulan terakhir daripada 40 keluarga yang tinggal di kem itu, belum berpindah ke rumah kekal baharu (RKB) yang dibina kerajaan kerana kediaman tersebut masih belum siap sepenuhnya dan berada dalam serba kekurangan.

Seorang mangsa, Che Harun Che Awang, 70, berkata walaupun rakan-rakan lain telah lama berpindah ke RKB, namun beliau bersama 13 lagi keluarga masih tinggal di kem PLKN yang sukar untuk dikunjungi anggota keluarga dan sahabat handai bagi menyambut hari raya bersama.

"RKB yang dijanjikan di Kampung Tanah Puteh di sini dibina Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan setakat ini pembinaan di peringkat akhir," katanya ketika ditemui hari ini.

Che Harun berkata harapannya agar dapat berpindah ke rumah baharu sebelum Aidilfitri ini terpaksa ditangguhkan kerana kemudahan seperti jalan, bekalan elektrik dan air belum selesai.

"Pak cik rindu sangat untuk menyambut hari raya di rumah milik sendiri kerana lebih selesa dan dapat berkumpul anak-beranak lebih ramai.

"Sudahlah dua tahun menyambut hari raya di kem ini dan tahun ini sekali lagi terpaksa berdepan dengan perkara sama, nasib pak cik bersama isteri terpaksa tinggal di sini," katanya.

Rohayu Mat Lazim, 40, pula berkata beliau tidak banyak membuat persiapan menyambut Adilfitri dan secara ala kadar kerana maklum tempat yang didiami kini bukanlah rumah sendiri dan serba kekurangan.

Beliau berkata jika dapat tinggal di rumah sendiri sudah tentu dapat menyambut hari raya dengan lebih meriah kerana ada kelengkapan rumah.

"Waris yang berada di luar juga tidak boleh bermalam bersama di kem itu, maklum saja pusat pemindahan mangsa banjir yang ruangnya sempit," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof berkata masih terdapat 14 keluarga yang tinggal di kem PLKN Etnobotani dan berharap mereka bersabar kerana rumah baharu itu sedang disiapkan oleh pihak MAIK.

Beliau berkata mangsa banjir lain semuanya sudah berpindah ke RKB masing-masing tiga bulan lepas termasuk 41 buah RKB yang dibina kerajaan pusat di Kampung Batu Papan Dua.

Katanya selain itu, 30 mangsa banjir ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar ini tanpa dikenakan sebarang bayaran.

"Memanglah untuk menyelesaikan masalah bantuan rumah kepada mangsa banjir itu mengambil masa kerana membabitkan peruntukan kerajaan, masalah tapak (tanah) dan nasib baik juga ramai mangsa banjir yang menerima rumah yang dibina oleh badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS