Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 syarat PAS S'wak jika tubuh firma minyak, gas sendiri
Diterbitkan:  Jun 12, 2017 11:44 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, pihaknya menyokong penuh hasrat kerajaan negeri Sarawak untuk menubuhkan syarikat minyak dan gas sendiri tetapi dengan dua syarat.

Dua syarat berkenaan ialah ia bebas dari pengaruh mana-mana parti politik pemerintah dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan, kata beliau.

"Pastikan ahli-ahli politik tidak mengganggu dan mencampuri urusan syarikat minyak dan gas kerana ia perlu diuruskan oleh golongan profesional dan pakar dalam bidang cari gali minyak dan gas.

"Ramai anak-anak tempatan yang boleh mengurus dan melaksanakan tugas yang berkaitan dalam bidang minyak dan gas ini tanpa terlalu bergantung dengan orang asing," kata beliau dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri merancang menubuhkan syarikat minyaknya sendiri untuk mengambil bahagian dalam kegiatan penerokaan minyak dan gas di perairan bumi Kenyalang itu.

Abang Johari berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Petronas dan mendapat respon yang positif, khasnya untuk kegiatan huluan minyak dan gas, selain daripada hiliran.

"Saya telah berbincang dengan Petronas, kita mengambil pendekatan baharu, Sarawak akan ambil bahagian dalam kegiatan huluan minyak dan gas, selain daripada hiliran, huluan ini adalah pertama kali di mana kita akan tubuh syarikat kerajaan negeri untuk bersama-sama Petronas di dalam meneroka dan mengambil gas dan minyak di laut dekat Sarawak," kata Abang Johari.

Mengulas lanjut, Jofri berkata, tanggungjawab kerajaan hanyalah memantau syarikat dan bukannya campur tangan dalam hal ehwal syarikat sehingga menjejaskan urusan syarikat.

"Apabila ada orang yang mempunyai kepentingan campur tangan dalam syarikat tidak syak lagi akan berlaku penyalah gunaan kuasa dan ketirisan yang akhirnya merugikan rakyat.

"Kami berharap apabila ia berjaya nanti, janganlah Ali Baba syarikat kerajaan kepada orang asing untuk mengawalnya. Beri keutamaan kepada rakyat tempatan menguasainya dan bebas dari campur tangan asing," tambahnya.

Lihat Komen
ADS