NGO beli kesemua hasil jualan ibu tunggal
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Putra Malaysia mengambil inisiatif membantu golongan ibu tunggal yang berniaga di bazar Ramadan terpilih di Kota Bharu dengan membeli kesemua juadah jualan mereka untuk diagihkan kepada orang ramai.
Yang Dipertua Putra Malaysia Kelantan, Ahmad Amiruddin Ahmad Nizirin berkata kaedah itu bertujuan supaya golongan ibu tunggal ini mendapat hasil jualan dengan cepat dan berpeluang berbuka puasa bersama anak-anak mereka di rumah.
"Ada ibu tunggal terpaksa berkorban masa dengan meninggalkan anak-anak termasuk yang masih kecil di rumah kerana berniaga mencari rezeki sepanjang bulan puasa ini, kami tidak mahu melihat ada ibu tunggal berbuka puasa di tapak jualan semata-mata mahu menghabiskan jualan setiap hari," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan makanan kepada pengunjung bazar Ramadan di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di sini semalam. Bazar itu adalah yang ketiga dikunjungi mereka selepas Machang dan Tanah Merah sejak awal Ramadan.
Katanya program jelajah ke bazar Ramadan terpilih itu akan berakhir menjelang Syawal dan pihaknya menjangkakan dapat mengagihkan makanan hasil jualan ibu tunggal kepada 1,000 pengunjung bazar.
"Biasanya kami akan meninjau bazar Ramadan lebih awal bagi mengetahui jika terdapat ibu tunggal yang berniaga. Ada di antara mereka menjual minuman serta kuih-muih," katanya dan menambah pertubuhan itu mempunyai 700 anggota di Kelantan.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Wan Maznah Wan Jusoh, 47, yang berniaga kuih-muih bersyukur kerana gerainya menjadi pilihan NGO berkenaan.
"Kali ini, dapatlah saya berbuka dengan lima anak di rumah dan menghidangkan makanan kepada mereka," katanya yang berasal dari Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di Kota Bharu.
-Bernama

