Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cukai pelancongan: Melaka tak terjejas, kata Idris
Diterbitkan:  Jun 12, 2017 3:24 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Pelaksanaan cukai pelancongan yang dijadual pada 1 Julai depan dijangka tidak akan memberi kesan terhadap kedatangan pelancong tempatan atau antarabangsa ke Melaka, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata langkah diambil Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu merupakan inisiatif bagi menambah sumber pendapatan baharu sekali gus menambah baik kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan negara.

Katanya, pelaksanaan cukai berkenaan juga secara tidak langsung dapat membantu dalam usaha menjana pendapatan industri pelancongan negara.

"Tidak perlu khuatir dengan pengenalan cukai ini kerana saya kira jumlah kedatangan pelancong ke Melaka tidak akan terjejas sebaliknya mereka (pelancong) mendapat jaminan bahawa prasarana pelancongan negara akan dipertingkatkan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Idris merasmikan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Pengurus Besar TM Melaka, Datuk Rozlan Mohamed dan barisan exco negeri serta kira-kira 500 penjawat awam di negeri ini.

Pada sidang Dewan Rakyat yang lepas, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 diluluskan yang antara lain membenarkan pelaksanaan kadar cukai antara RM2.50 dan RM20 bagi penginapan semalam di hotel dan rumah penginapan berdaftar.

Mengulas mengenai rungutan sesetengah pihak mengenai perlaksanaan cukai itu, Idris berkata, Melaka turut menerima reaksi yang hampir sama apabila memperkenalkan cukai warisan.

"Bagaimanapun, lama-kelamaan mereka semakin positif kerana boleh mempertikaikan sekiranya produk warisan berkenaan tidak dijaga dan dipelihara dengan baik atas cukai yang dikenakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mempertimbangkan beberapa bangunan kerajaan lama yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan di Jonker Walk.

Melaka memperkenalkan cukai warisan sebanyak lima peratus untuk setiap pengusaha hotel pada September 2011, sebelum memansuhkan cukai itu dan menukarnya dengan caj warisan sebanyak RM2 setiap bilik setiap malam pada Januari 2012.

- Bernama

Lihat Komen
ADS