Mahasiswa Malaysia kini berpeluang menjalani latihan industri dengan syarikat terkemuka di Indonesia susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp Malaysia) dan Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN) hari ini.

Ketua Eksekutif TalentCorp Malaysia Shareen Shariza Abdul Ghani berkata MoU itu dimeterai di bawah program 'Latihan Amali MyASEAN' sebagai sebahagian usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran belia Malaysia dan Indonesia mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN.

"Program ini direka bentuk untuk menggalakkan mobiliti modal insan di ASEAN di peringkat universiti dan ia membolehkan mahasiswa dari Malaysia menyertai syarikat-syarikat di Indonesia kerana mobiliti modal insan adalah komponen penting dalam tenaga kerja moden," katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.

Pemeteraian MoU antara Shareen Shariza selaku wakil TalentCorp Malaysia dan Naib Pengerusi KADIN Shinta Widjaja Kamdani itu disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perkampungan, Wilayah Terpinggir dan Transmigrasi Eko Putro Sandjojo serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Mengulas lanjut, Shareen Shariza berkata untuk permulaan, program itu disertai 30 syarikat Indonesia.

Sementara itu, Mustapa berkata Latihan Amali MyASEAN terbukti dapat membuka peluang dan memberi pengalaman kepada modal insan muda yang terbaik di rantau ini selain meningkatkan persefahaman warga ASEAN.

Katanya program turut memberi peluang kepada majikan meraih manfaat daripada modal insan berkaliber tinggi yang memahami ASEAN khususnya bagi syarikat-syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di seluruh rantau ini.

Program Latihan Amali MyASEAN merupakan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta TalentCorp yang dilancarkan pada 2015 dengan tujuan meningkatkan kesedaran menyeluruh mengenai ASEAN dalam kalangan belia.

Program itu membuka peluang kepada pelajar-pelajar cemerlang Malaysia dari universiti tempatan dan antarabangsa untuk menjalani latihan magang (amali) di syarikat-syarikat terkemuka di negara-negara ASEAN.

-Bernama