'Mereka bukan individu yang komited terhadap parti'
Ahli Exco ARMADA parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mendakwa dua ahli exco sayap itu yang secara tiba-tiba menyerang kepimpinan parti itu, jarang menghadiri mesyuarat exco sayap itu.
"(Mohamad) Taufik (Abas) dan (Muhammad) Hafiz (Azhar) bukan individu yang komited terhadap perjuangan parti," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sabtu lalu, Hafiz mengadakan sidang akhbar di mana dia mempersoalkan kekayaan anak pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga dakwaan hubungan sulit terhadap presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hafiz kini dalam proses untuk dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti itu selepas Ketua ARMADA, Syed Saddiq Abdul Rahman melahirkan rasa terkejut dengan kenyataannya dan menegaskan bahawa mereka tidak mewakili sayap itu.
Semalam, Mohamad Taufik turut tampil dalam satu sidang akhbar, untuk mempertahankan Hafiz.
Ashraf berkata Taufik, sehari sebelum sidang media itu, telah tiba-tiba muncul di mesyuarat ARMADA, di mana mereka telah membincangkan mengenai tindakan Hafiz itu.
"Setelah sekian lama Taufik menghilangkan diri tanpa maklum, tiba-tiba dia muncul semalam dan sepertimana rakan-rakan lain dalam ARMADA, kita meraikan teman seperjuangan, dengan salam peluk dan tawa tanpa sedikitpun sangsi. Malah Ketua ARMADA Malaysia, Sdr. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut meluangkan masa yang agak lama bersama Taufik Abas dan meraikan kehadiran beliau.
"Namun apa yang menghairankan, tiada sebarang pertanyaan ataupun kritikan yang dilontarkan oleh Taufik kepada Ketua ARMADA Syed Saddiq mengenai sebarang isu, sama ada berkaitan parti, kepimpinan malah persoalan mengenai sidang media yang berkaitan dengan Hafiz Azhar sendiri.
"Apa yang terjadi sepanjang pertemuan dan perbincangan adalah Taufik lebih banyak berdiam diri dan menelaah telefon bimbitnya," kata Ashraf.
Ashraf mendakwa tindakan pengkhianatan mereka didalangi Umno.
"Jadi tidak hairan lagi jika selepas ini akan berlaku siri pengkhianatan yang akan mendapat tayangan perdana dan siri liputan media khas melalui TV3, selaku lidah rasmi Umno," katanya.
Beliau berkata ARMADA sedikitpun tidak goyah dan gentar dengan taktik kotor itu dan menekankan bahawa Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak perlu berdepan dengan Dr Mahathir dalam satu forum yang dianjurkan oleh sayap itu - Nothing to Hide 2.0.
Forum Nothing to Hide 2.0 pada tahun 2015 tidak menjadi kenyataan apabila Najib tidak hadir dan Mahathir naik di atas pentas dan mengkritik perdana menteri.

