Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jet pejuang TUDM terhempas, dua juruterbang terbunuh
Diterbitkan:  Jun 15, 2017 1:21 PM
Dikemaskini: 5:07 PM

KEMASKINI Dua juruterbang pesawat Hawk 108 yang dilaporkan hilang pagi tadi, disahkan terkorban dan pesawat pejuang itu dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu petang ini.

Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata jasad kedua-dua mangsa, Mejar Yazmi Mohamed Yusof , 39, dan Mejar Hasri Zahari, 31, ditemui pada jam 2.30 petang tadi, kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan.

Bernama melaporkan beliau berkata kedua-dua mereka ditemui memakai payung terjun menunjukkan mereka sempat melenting keluar daripada pesawat.

"Mayat mereka ditemui dalam jarak 20 meter antara satu sama lain. Bagaimanapun, setakat ini pesawat masih belum ditemui dan kerja-kerja mencari masih dijalankan," katanya dalam sidang media di Pangkalan TUDM di Kuantan hari ini.

Affendi berkata jasad kedua-dua juruterbang itu kini dalam proses dibawa keluar dari lokasi penemuan dan akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan duntuk dibedah siasat.

Kedua-dua juruterbang yang terkorban adalah daripada No 6 Skuadron Pangkalan TUDM Labuan.

"Kita akan pastikan kebajikan keluarga kedua-dua pegawai ini diberi perhatian paling tinggi," katanya.

Berikutan nahas pesawat pejuang itu, Affendi berkata TUDM turut mengambil keputusan menggantung sementara perkhidmatan pesawat Hawk 108, berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai.

"Saya juga telah arahkan satu badan siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat punca nahas pesawat," katanya.

Beliau berkata kali terakhir kemalangan udara melibatkan pesawat itu berlaku ialah di Mersing Johor, lebih 10 tahun lalu.

Pagi ini, TUDM mengesahkan pesawat jenis Hawk 108 miliknya hilang di utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang, setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi tadi.

Pesawat itu hilang semasa terbang di sempadan Terengganu dan Pahang di utara Kuantan, kata TUDM dalam satu kenyataan.

TUDM mempunyai enam pesawat jenis Hawk 108 yang mempunyai dua tempat duduk yang digunakan sebagai pesawat latihan.

Sementara itu, TUDM menggantung sementara perkhidmatan pesawat pejuang Hawk 108 sehingga siasatan terhadap nahas itu selesai.

Sementara itu, Bernama melaprkan Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga dua juruterbang yang terkorban hari ini.

"Innalillah. Terima berita sedih dua juruterbang yang hilang dijumpai maut. Takziah kepada keluarga. Siasatan terperinci akan dilaksana," katanya dalam laman Twitter, hari ini.

 

ADS