Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSATU akui cadang Dr M jadi pengerusi HARAPAN, tapi...

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengaku mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pakatan Harapan dalam mesyuarat majlis presiden gabungan itu minggu lalu.

Ketua biro strategi dan dasar parti itu Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff bagaimanapun berkata cadangan itu berbeza daripada apa yang dilaporkan media, yang menyebut Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dinamakan sebagai presiden HARAPAN.

Katanya, cadangan balas mereka itu sebenarnya berbeza dengan apa yang dirujuk oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Ya, kita cadangkan Mahathir sebagai pengerusi tetapi kita berpegang kepada cadangan balas dalam mesyuarat lalu, tiada elemen monopoli dalam kepimpinan utama,” katanya kepada Malaysiakini.

Lim semalam menolak kemungkinan dua jawatan utama dalam HARAPAN diisi tokoh BERSATU kerana ia dilihat sebagai monopoli dan penguasaan kawalan.

Sumber yang hadir dalam mesyuarat Jumaat lalu memberitahu Malaysiakini bahawa Muhyiddin bersetuju dengan cadangan balas parti lain supaya Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai presiden HARAPAN.

Bagaimanapun, PKR dilaporkan tidak dapat memberikan persetujuan kerana harus merujuk kepada ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan terlebih dahulu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS