6 lelaki mengaku tak bersalah lakukan rusuhan depan surau
Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Johor Bharu hari ini terhadap pertuduhan melakukan rusuhan hingga menyebabkan kecederaan di hadapan Surau Austin Perdana di Johor Bahru pada 5 Mei lepas.
Keenam-enam tertuduh iaitu Toh Chai Eun, 28; Nor Haszman Hashim, 46; Norfriandika Kusuma, 22; Robert Anak Bajak, 55; Haslan Masahat, 55 dan Muhamad Akhmarul Naim Amir, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dihadapan Majistret Salina Omar.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira 1.30 tengah hari, 5 Mei lepas mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret membenarkan semua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 5 Mei lalu, satu video tular di laman sosial Facebook yang menyaksikan sekumpulan lelaki memukul pemandu kereta yang dipercayai berpunca apabila pemandu terbabit membunyikan hon kenderaan semasa solat Jumaat hingga menimbulkan kemarahan mereka.
- Bernama

