Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga mendiang T Nhaveen nafi minta derma
Diterbitkan:  Jun 16, 2017 12:36 AM
Dikemaskini: Jun 16, 2017 4:26 AM

Anggota keluarga mendiang T Nhaveen menafikan pihaknya meminta sumbangan daripada orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp yang menjadi tular sejak berita kematian remaja lelaki itu petang semalam.

Bapa saudara mendiang, R Thiyagarajan, 50, berkata pihaknya mengetahui mengenai penularan mesej meminta derma itu selepas dimaklumkan oleh pengamal media yang menunggu proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) malam tadi.

"Kami tidak pernah meminta sebarang sumbangan daripada orang ramai mesej itu adalah palsu. Apa yang kami minta sekarang adalah keadilan untuk mendiang anak saudara saya," katanya ketika ditemui di jabatan itu di George Town malam tadi.

Mesej yang mengandungi nombor akaun bank CIMB menggunakan nama M Shanmugam meminta orang ramai memberi derma berikutan kematian Nhaveen sebagai tanda penghormatan kepada keluarga mendiang.

Thiyagarajan berkata pihak keluarga telah melantik peguam Baljit Singh untuk menguruskan urusan undang-undang berhubung kes Nhaveen, 18.

"Kami tidak mahir hal undang-undang jadi kami serahkan kepada profesional untuk mewakili keluarga bagi tindakan seterusnya. Saya tak boleh komen lanjut," katanya.

Beliau berkata keluarga berharap polis dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat demi keadilan Nhaveen.

Dalam kejadian pada pukul 2.10 pagi Sabtu lepas, lima remaja berusia antara 16 dan 18 tahun dilapor memukul Nhaveen dan rakan baiknya T Previin menggunakan topi keledar. Previin yang turut cedera dan kini dirawat di HPP bagaimanapun dapat melarikan diri ketika mereka dikatakan cuba diheret ke padang berdekatan.

Nhaveen yang mengalami kecederaan parah dilapor turut mengalami kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.

Susulan kejadian itu, polis menahan lima remaja termasuk dua pelajar tingkatan empat dan lima bagi membantu siasatan kes itu. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS