Paling Popular
Terkini

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak akan campur tangan dalam saman sivil yang difailkan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkaitan saman sivil berkenaan, Khalid berkata pihak polis tidak akan campurtangan dalam kes berkenaan.

"Kalau tindakan sivil, polis tidak akan campur tangan.

"Tidak (bekerjasama dengan FBI) dalam perkara sivil," katanya ringkas pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung saman ketiga yang difailkan DOJ berkaitan 1MDB.

Malaysiakini melaporkan, saman sivil ketiga yang difailkan oleh DOJ menyenaraikan lagi secara terperinci tentang dakwaan penyelewengan wang 1MDB.

Antaranya, DOJ mendakwa hartawan yang juga ahli perniagaan Jho Low dan sekutunya Eric Tan membelanjakan AS$9.9 juta bagi membeli barang kemas untuk ibunya serta model Australia, Miranda Kerr.

Malah, AS$28.9 juta turut dibelanjakan untuk membeli barang kemas isteri Malaysian Official 1.

DOJ turut mendakwa, kapal layar mewah milik Low, "The Equanimity" dibeli menggunakan wang 1MDB.

Dalam pemfailan ketiga yang dibuat semalam, DOJ mendakwa Low turut membeli lebih AS$1 bilion hartanah dengan menggunakan dana yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Selain itu, dalam pemfailan tersebut, DOJ juga berkata, sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan bagi membeli loket dan rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri Malaysian Official 1.

Lihat Komen
ADS