Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Kenapa Sarawak Report nak sibuk siasatan SPRM?

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau tidak akan mengendahkan laporan terkini Sarawak Report yang mengaitkan pegawai tertingginya, termasuk dirinya dengan dakwaan rasuah.

Malah, Khalid memberitahu wartawan, pihak yang wajar mengajukan soalan ketika ini ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukan portal berkenaan.

"Dia (Sarawak Report) ada niat tak baik, ada agenda tertentu. Kita tak perlu layan.

"Biar SPRM siasat. Kalau nak tanya pun, biar SPRM tanya, apa disebut antara saya dengan Gopi (Gopinathan Krishnan) ke, antara pegawai saya ke, biar SPRM siasat.

"Dia (Sarawak Report) nak sibuk kenapa?" soal Khalid pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung dakwaan terbaru Sarawak Report yang mengaitkan beberapa pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan suspek utama kes rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di Melaka.

Dalam laporan yang dikeluarkan semalam, Sarawak Report mendakwa Gopinathan ada menghubungi beberapa pegawai tertinggi PDRM di Bukit Aman, Perak dan Sarawak.

Antara yang dinamakan ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohamad Salleh.

Selain itu, ditanya lagi tentang dakwaan Sarawak Report mengenai hubungan pegawainya dengan Gopinathan, Khalid sekali lagi berkata:

"Saya tidak perlu menjawab kepada Sarawak Report. Siapa mereka untuk saya jawab pada mereka?

"Sarawak Report sengaja nak burukkan saya dan organisasi saya. Kita dah beritahu, kes ini sedang disiasat, biar SPRM siasat kalau ada kesalahan yang dilakukan oleh sesiapa pun, atau mana-mana pegawai," katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Mohamad yang hadir pada majlis yang sama enggan memberikan sebarang komen ketika diajukan soalan mengenai dakwaan laporan Sarawak Report.

"Tak ada komen (no comment). Tak ada komen.

"Kalau SPRM panggil, saya pergilah," kata pengarah JSJ Bukit Aman itu dengan ringkas.

Khalid pada Rabu, 14 Jun lalu mengakui bahawa beliau dan keluarganya turut mengenali Gopinathan Krishnan, 50, suspek utama berhubung kes menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka.

 

Lihat Komen
ADS