Adik bongsu dakwa PM Singapura bohong
Persengketaan antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dengan adik-beradik beliau makin memuncak apabila adik bongsunya, Lee Hsien Yang menuduh abangnya itu berbohong di Parlimen atau jawatankuasa yang ditubuhkan untuk meneliti perkara berkaitan rumah ibu bapa mereka di Oxley Road.
Dalam catatan di Facebook semalam, Hsien Yang berkata kenyataan abangnya di Parlimen bercanggah dengan akuan berkanun yang dibuatnya kepada jawatankuasa rahsianya.
"Adalah salah untuk berbohong kepada Parlimen dan adalah salah untuk berbohong secara bersumpah," katanya.
Hsien Yang juga mendakwa abangnya tidak menimbulkan sebarang cabaran perundangan selama banyak bulan apabila wasiat ayah mereka yang juga PM pertama Singapura, Lee Kuan Yew, dibaca.
"Probate telah dikeluarkan pada Oktober 2015, jadi wasiat itu adalah penuh, muktamad dan sah di segi undang-undang.
"Hsien Loong tidak perlu menggunakan jawatankuasa bawahannya untuk mengatakan apa yang dia tidak berani untuk mengatakannya di mahkamah," kata adik.
Hsien Yang seterusnya bertanya: "Adakah dia atau adakah dia tidak percaya bahawa Kuan Yew tidak berbelah bagi dalam hasratnya supaya rumah itu dirobohkan?"
Beliau merujuk kepada kenyataan Hsien Loong di Parlimen Singapura pada 13 April 2015, mengenai rumah nombor 38, Oxley Road, di mana PM republik itu berkata bapanya berkeras mahu rumah itu dirobohkan selepas kematiannya dan tidak dijadikan muzium dan memorial untuknya.
Beliau juga merujuk kepada akuan bersumpah Hsien Loong kepada jawatankuasa peringkat menteri untuk mempertimbang pilihan untuk rumah Oxley Road.
Jawatankuasa itu ditubuhkan berikutan kritikan oleh Hsien Yang dan kakaknya Dr Lee Wei Ling terhadap abangnya itu berhubung masa depan rumah keluarga mereka.
Hsien Loong hari ini mengeluarkan akuan bersumpah (SD) kepada jawatankuasa peringkat menteri mengenai wasiat Kuan Yew berkaitan dengan rumah tersebut.
Versi penuh SD disiarkan oleh Straits Times Singapura termasuk apa Kuan Yew mahu dibuat dengan rumah itu jika ia tidak dirobohkan - iaitu rumah tersebut dibuka hanya kepada anak-anaknya, keluarga mereka, dan keturunan mereka.
Kuan Yew meninggal dunia pada 23 Mac 2015, dan dia membuat enam wasiat sebelum wasiat terakhirnya bertarikh 17 Disember 2013.

