Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rangka pesawat Hawk 108 ditemui pagi tadi
Diterbitkan:  Jun 16, 2017 6:19 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Pasukan mencari dan menyelamat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan kedudukan rangka pesawat pejuang Hawk 108, yang terhempas semalam, berhampiran Kampung Yak Yah di Chukai, Terengganu, pagi tadi.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan hari ini berkata rangka pesawat itu dikesan setelah operasi mencari dan menyelamat menggunakan helikopter EC725 disambung pada 7 pagi ini.

Sepasukan mencari dan menyelamat daripada Nombor 10 Skuadron Kuantan dianggotai oleh juruterbang Kapt Nazir Mohd Nor, Kapt Muhammad Yunus Mat Nor, Sarjan Udara Azrin Mohamad@Johor, Koperal Udara Sharizal Baktiar Jamali dan Koperal Udara Zulbakrin Masuda diturunkan dan mengesahkan pesawat malang tersebut, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, tindakan memasang perimeter keselamatan bagi tujuan penyiasatan serta keselamatan telah dilaksanakan, dan TUDM kini dalam usaha mengeluarkan rangka pesawat berkenaan.

Lembaga Penyiasatan yang diketuai Leftenan Kolonel A John Sham bersama tiga lagi pegawai telah berada di lokasi untuk menjalankan penyiasatan yang bermula dari semalam.

Dalam kejadian pada 2.30 petang semalam, dua juruterbang pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM ditemukan maut di kawasan hutan paya Chukai, Kemaman setelah dilaporkan hilang dan terputus hubungan pada 11.30 pagi selepas berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS