Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rizal seru pembangkang henti politik 'meroyan'
Diterbitkan:  Jun 16, 2017 6:35 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, adalah menyedihkan dengan sikap pembangkang yang masih memperalatkan serangan peribadi untuk mencuri perhatian rakyat.

Beliau merujuk kepada rancangan pembangkang untuk melancarkan semula kempen memburuk-burukkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

"Terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Datuk Seri Said Keruak kerana mendedahkan rancangan jahat pembangkang untuk melancarkan semula kempen memburuk-burukkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

"Saya yang mengenali Datin Seri Rosmah berasa sedih sekali dengan perkembangan ini. Selepas 60 tahun merdeka, ketika rakyat Malaysia sudah matang berpolitik, mereka masih memperalatkan serangan peribadi untuk mencuri perhatian rakyat.

"Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya dengan rendah diri mengajak pembangkang maju ke depan dengan meninggalkan politik sebegini," kata beliau dalam catatan di akaun Facebook miliknya.

Hari ini, Rosmah mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah mempercayai fitnah yang sengaja diadakan bagi menjatuhkan pemimpin, organisasi mahupun negara.

Katanya, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan sosial media bagi tujuan itu.

“Bagi melebar luas anasir-anasir kotor mereka, media sosial telah dijadikan senjata utama mereka untuk mengelirukan serta mempengaruhi minda dan fikiran rakyat.

“Natijahnya orang yang difitnah terus menjadi mangsa dan masyarakat akan dimomokkan dengan perkara tidak benar,” kata Rosmah lagi.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, dengan mencanangkannya sebagai alternatif kepada BN, pembangkang harus tampil membahaskan dasar-dasar negara dengan rasional dan mengetepikan busuk hati demi kepentingan rakyat.

"Saya juga dengan rendah diri memohon pembangkang meninggalkan politik murahan sebegini. Jika mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kemukakanlah hujah mereka.

"Jangan meroyan kepada Datin Seri Rosmah yang tidak terlibat langsung dalam pentadbiran negara. Salam Ramadan. Teruskan beramal," tambah Rizal.

Lihat Komen
ADS