Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pyanhabib kembali ke pangkal jalan?
Diterbitkan:  Jun 19, 2017 6:04 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Seniman Pyanhabib dilaporkan kini 'insaf' dan kembali ke pangkal jalan selepas sekian lama dikaitkan dengan pembangkang.

Ia dinyatakan dalam status Facebook pegawai khas perdana menteri Datuk Rizal Mansor.

Mengiringi sekeping gambar menunjukkan penyair dan pelakon itu sedang bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak sempena majlis berbuka puasa perdana menteri bersama sasterawan, karyawan, seniman, budayawan dan penyiar di Seri Perdana Putrajaya semalam.

"Apabila anak seni dah sedar kesilapan dalam memilih jemaah dan balik ke pangkal jalan.. dulu bersama-sama dengan propembangkang, kini sudah kembali ke pangkal jalan," tulis Rizal

Beliau juga sempat menitipkan pesan kepada kumpulan yang masih bersama dengan pembangkang supaya mengubah pendirian masing-masing.

"Kepada yang masih berada dalam pembangkang, masih belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan daripada kekal duduk bersama dalam Pakatan Harapan yang hanya menjanjikan bulan dan bintang," katanya.

Sementara itu Pyanhabib ketika dihubungi Malaysiakini berkata, kunjungannya ke Seri Perdana semalam adalah atas kapasiti ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA).

"Dah alang-alang pergi, saya terjumpa Najib, saya serahkan kad jemputan kahwin anak," katanya.

Dia juga sempat menjual senaskhah buku sajaknya, Melukis Puisi - Sebuah Penceritaan Puisi-Puisi Pyanhabib terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia kepada perdana menteri.

Bagaimanapun Pyanhabib berkata, ia tidak ada kena mengena dengan pendirian politik atau kembali ke pangkal jalan.

Malah, katanya, semasa majlis itu berlangsung dia sendiri rasa kurang selesa apabila istilah seniman dan karyawan seolah-olah dipergunakan dengan sewenang-wenangnya.

"Dalam kepala mereka seniman dan karyawan itu orang jenis terlibat hiburan sajalah gamaknya.

"Semalam, di Seri Perdana bersepah-sepah artis hiburan. Penulis, orang sastera, budayawan pula tersorok," katanya.

Lihat Komen
ADS