Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya tak pernah jumpa pegawai AS, kata Dr M
Diterbitkan:  Jun 20, 2017 8:50 AM
Dikemaskini: 1:57 AM

Bekas perdana menteri dan kini pengkritik paling lantang kerajaan, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa pembangkang adalah di sebalik pemfailan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.

Sambil tergelak, Mahathir yang kini adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata beliau tidak pernah berjumpa dengan mana-mana pegawai AS berhubung saman sivil itu.

"Saya tidak pernah berjumpa dengan mana-mana pegawai Amerika, tetapi pastinya pembangkang tidak mempunyai pengaruh sama sekali mengenai siasatan, siasatan sebegitu terperinci yang dilakukan oleh kerajaan AS," katanya kepada Channel News Asia dalam temu bual, semalam.

"Saya bangga bahawa kamu berfikir bahawa kami mempunyai pengaruh ke atas kerajaan AS. Kamu tahu tiada siapa yang mempunyai pengaruh terhadap kerajaan AS. Malah, (Presiden AS Donald) Trump juga menghadapi kesusahan,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata DOJ mesti memberitahu siapa pengadu untuk mendedahkan motif politik di belakang pemfailan berkenaan.

DOJ sedang berusaha untuk merampas lebih daripada AS$ 1 bilion aset yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Ini termasuk hartatanah dan barangan kemas yang dibeli oleh Jho Low, kawan rapat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya serta aset yang dimilik oleh anak tirinya, Riza Aziz.

Najib menafikan beliau melakukan sebarang salah laku dan apabila disoal sama ada beliau akan mengheret DOJ ke mahkmah, beliau hanya tersenyum dan berkata, “Siapa yang mahu saman?”

Sementara itu, Mahathir menyangkal dakwaan bahawa pemfailan DOJ dikaitkan dengan aduan yang disampaikan oleh penyokong setianya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Khairuddin dan peguamnya, Matthias Chang, yang pernah menjadi setiausaha politik Mahathir, tahun lalu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atas dakwaan cuba mensabotaj ekonomi negara selepas membuat aduan mengenai 1MDB kepada agensi penguatkuasaan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, Mahathir berkata ini adalah "hari-hari awal" siasatan.

"Mereka ke luar negara kerana mereka tidak dapat sebarang respons. Ini adalah jenayah yang dilakukan di Amerika, Switzerland dan di tempat lain.

"Ini adalah hak rakyat Amerika, sebenarnya, mereka sudah menyiasat," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS