Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Raja Petra samakan Syed Saddiq dengan Anwar
Diterbitkan:  Jun 20, 2017 9:08 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Penulis blog, Raja Petra Kamaruddin, mendakwa Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah melakukan kesilapan sama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dulu.

Mengulas laporan polis dibuat Syed Saddiq terhadapnya, Raja Petra berkata, Anwa turut bertindak sama seperti itu selepas dituduh terbabit dalam salah laku seks pada 1998.

“Apa yang berlaku ialah, selepas Anwa membuat laporan polis, pihak polis menjalankan siasatan dan mendapati dakwaan itu adalah benar.

"Justeru, daripada bertindak ke atas pihak yang membuat tuduhan, polis bertindak ke atas Anwar," katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu secara konsisten menafikan tuduhan ke atasnya dan mendakwa ia adalah rekaan musuh politik beliau. Bagaimanapun kerajaan menafikan dakwaan Anwar itu.

Syed Saddiq sebelum ini membuat laporan polis ke atas Raja Petra dengan penulis itu menuduhnya memainkan peranan di sebalik saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS berkaitan isu dana 1MDB.

Kata Raja Petra, selepas laporan polis dibuat ke atasnya, mengikut undang-undang pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan.

"Dan jika polis memanggil saya - misalnya ke Bangkok - untuk mengambil keterangan, maka saya terpaksa ke Bangkok dan bertemu polis.

"Kemudian saya perlu mendedahkan nama tiga exco pemuda anda yang pernah dimaklumkan mengenai rancangan pengumuman DOJ pada 15 Jun 2017.

"Dan ini bermakna tiga anggota exco itu sudah terheret bersama dalam isu ini kerana polis akan memanggil mereka untuk dirakam keterangannya," kata Raja Petra di blognya.

Jika polis mendapati dakwaan itu benar, katanya, maka ia mungkin sama seperti suatu konspirasi.

"Konspirasi berlaku apabila dua orang atau lebih bertindak secara terancang untuk melakukan jenayah. Dan konspirasi untuk menghancurkan negara dan/atau perdana menteri dengan niat untuk melunturkan keyakinan orang awam dan asing kepada negara dan merosakkan ekonomi negara sama dengan sabotaj ekonomi.

"Pendek kata, ini adalah perbuatan khianat dan anda adalah rakan subahat yang boleh didakwa dengan tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, jenayah yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan," katanya.

Raja Petra juga mendakwa Syed Saddiq sudah masuk ke perangkap yang dipasangnya.

"Syed, anda mungkin juara debat tapi anda sama sekali bukan jaguh strategi.

"Kamu melakukan dengan tepat apa yang saya mahu anda buat. Jadi itu menjadikan anda budak mentah dan pada masa sama menjadikan saya pakar strategi jauh lebih baik daripada kamu," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS