Perbicaraan Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor atas tuduhan membocor rahsia kerajaan, yang dijadualkan hari ini, ditangguh kepada 6 Ogos depan.

Munurut peguam bela Zainur Zakaria, perbicaraan yang sepatutnya didengar di Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah ditunda kerana peguam kanan Raja Aziz Addruse terpaksa menghadiri perbicaraan lain pagi ini.

Ezam, 34, didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) atas tuduhan memiliki dan memaklumkan kepada media dalam satu sidang akhbar mengenai laporan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu didakwa mengikut Seksyen 8(1)(i) akta itu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau tidak melebihi tujuh tahun.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 November 1999 kira-kira jam 12.35 petang di Ibu Pejabat Parti Keadilan di No 101 dan 201 blok A Pusat Dagangan Phileo Damansara II, Kuala Lumpur.

Ezam kini menjalani hukuman tahanan dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting, Perak.

Beliau adalah antara 10 aktivis reformasi yang ditahan pada 10 April lalu kerana dituduh cuba menggulingkan kerajaan secara militan.