Denda RM4,500 - kari kambing ada DNA lembu
Pengusaha sebuah restoran hari ini diperintahkan membayar denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh kerana menjual kari kambing yang mengandungi DNA lembu dan biri-biri.
Kedai makan yang dikendalikan oleh N Subramaniam di Teluk Intan itu didapati bersalah di bawah Seksyen 13B (1) Akta Makanan 1983.
Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin memutuskan, peguam bela gagal membuktikan keraguan yang munasabah bahawa pihak pembekal kambing itu yang bertanggungjawab terhadap perkara tersebut.
"Semasa peringkat pendakwaan, saya berpuas hati dengan prima facie yang dibangkitkan oleh pendakwa. Saya menerima (keterangan) semua lapan saksi pendakwa, termasuk bukti penganalisis kimia yang mengesahkan kewujudan DNA daging lembu dan biri-biri dalam kari kambing, "katanya.
"Penganalisis kimia menjelaskan dengan terperinci bagaimana proses analisis dijalankan.
"Jadi, persoalan bagaimana DNA lembu dan DNA biri-biri wujud dalam kari kambing adalah tidak penting. Apa yang penting ialah ia ada dalam kari kambing.
"Saya tidak dapat mengaitkan bagaimana (pembekal daging kambing di Teluk Intan) TPL Fresh Meat menjadi penyumbang utama kepada campuran DNA daging lembu dan kambing (dalam kari daging kambing)," katanya.
Semasa peringkat awal perbicaraan, peguam bela A Sivanesan menyatakan bahawa kliennya adalah seorang penganut agama Hindu dan dilarang menyentuh produk daging lembu, sesuai dengan kepercayaannya.

