Paling Popular
Terkini
story images
story images

Tan Sri Isa Samad menyerahkan keputusan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi menentukan sama ada beliau bersalah atau tidak berhubung kemelut yang melanda Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Isa berkata demikian ketika diserbu pemberita selepas disoal siasat lebih empat jam oleh SPRM hari ini.

"Bagaimana saya tahu saya bersalah, saya dah beri keterangan dalam soal siasat. Saya tidak tahu sama ada saya bersalah atau tidak.

"Saya tidak mahu buat apa-apa andaian terhadap isu ini. Itu keputusan yang akan dibuat oleh SPRM," katanya ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Bekas pengerusi FGV itu berkata beliau telah menjelaskan beberapa perkara ketika ditanya pegawai penyiasat SPRM hari ini.

"Saya tidak mahu buat apa-apa andaian terhadap isu ini. Itu keputusan yang akan dibuat oleh SPRM," katanya.

"Ada sebut nama isteri'

Terdahulu, anggota parlimen Jempol itu dan isterinya Bibi Sharliza Mohd Khalid hadir ke SPRM untuk memberi keterangan sekitar jam 9.40 pagi tadi.

Ditanya mengenai kehadiran isteri beliau, Isa berkata ia perkara biasa apabila seseorang hadir sekiranya namanya disebut dalam sesuatu pendakwaan.

"Normal (isteri) dipanggil kalau ada dakwaan dan kalau ada sebut nama, maka kena panggil," kata Isa.

Krisis dalam FGV bermula selepas Zakaria diarahkan bercuti sehingga selesai siasatan terhadap urus niaga oleh anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd dan Safitex Trading LLC yang berpangkalan di Dubai.

Zakaria bagaimanapun menafikan salah laku korporat dan mendakwa beliau cuba menghalang "pelaburan tidak masuk akal" berjumlah jutaan ringgit dan aktiviti perniagaan bukan teras perladangan dalam FGV.

SPRM pada 7 Jun lalu telah menyiasat Zakaria dan menyerbu pejabat FGV sehari selepas itu.

Sementara itu, Isa semalam berundur dari jawatan pengerusi FGV dan tempatnya digantikan oleh bekas pengerusi Telekom Malaysia, Tan Sri Sulaiman Mahbob.

Sejurus selepas itu Isa dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).

Langkah itu dilihat antara jalan penyelesaian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas laporan mengenai FGV dikemukakan oleh bekas menteri Datuk Seri Idris Jala.

 

Lihat Komen
ADS