Paling Popular
Terkini

Saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan dengan 1MDB, bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia, kata kedutaan AS di Kuala Lumpur.

"Tidak, ini bukan satu percubaan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.

"Matlamatnya adalah untuk mendapatkan semula aset dan mengembalikannya demi faedah rakyat negara yang terjejas," kata jurucakap kedutaan itu kepada Malaysiakini.

Jurucakap itu menegaskan bahawa saman DOJ adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melindungi pasaran dan sistem kewangan AS daripada penipu wang.

Kedutaan itu menegaskan demikan dalam responnya kepada Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, yang mendakwa pada hari Selasa bahawa saman DOJ adalah tindakan 'pre-emptive' menjelang pilihan raya umum akan datang ke arah pertukaran kerajaan yang diterajui oleh orang Islam.

DOJ memfailkan set ketiga saman sivil untuk merampas tambahan AS$540 juta aset yang didakwa diprolehi melalui dana yang diselewang dari 1MDB - menjadikan jumlah keseluruhannya AS$.7 bilion.

Tindakan itu adalah sebahagian daripada Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi (Kari), yang bertujuan untuk memulangkan dana yang didakwa dicuri dari negara-negara yang terjejas.

Antara lain, dalam pemfailan Khamis lalu, DOJ mendakwa bahawa AS$620 juta yang didakwa oleh MO1 telah dikembalikan kepada pendermanya, sebaliknya dipindahkan kepada hartawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low.

DOJ mendakwa bahawa Jho Low kemudian menggunakan sebahagian dana - yang didakwa diselewengkan dari 1MDB - untuk membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$27.3 juta untuk isteri MO1.

Walaupun DOJ tidak menamakan siapa itu MO1 mahupun isterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tuntutan mahkamah berkenaan memberi gambaran seolah-olah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor terpalit dalam salah laku.

Abdul Rahman pada tahun lalu juga mengesahkan bahawa Najib adalah MO1.

Bagaimanapun, beliau berkata hakikat bahawa Najib tidak dinamakan dalam saman itu menunjukkan perdana menteri bukan menjadi subjek siasatan.

Najib telah berulang kali menafi menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi, manakala Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salahlaku.

Manakala firma guaman yang mewakili Rosmah memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap anak guamnya.

Penyokong pro-kerajaan telah menuduh pembangkang ada kaitan dengan saman DOJ, yang mana, telah dinafikan oleh pembangkang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS