Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rosmah rasmi Bilik PERMATA
Diterbitkan:  Jun 22, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Istana Kehakiman, yang pertama seumpamanya di negara ini, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk bilik menunggu bagi saksi kanak-kanak.

Bilik menunggu itu, yang dinamakan sebagai Bilik Permata, dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Yayasan Permata sempena perasmian mahkamah khas itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bilik Permata dilengkapi dengan perabot, televisyen, komputer dan permainan kanak-kanak serta perpustakaan kecil yang menyediakan bahan-bahan bacaan sesuai untuk kanak-kanak yang disumbangkan Yayasan Permata.

Najib dalam ucapannya pada majlis perasmian itu berkata kemudahan khas itu penting bagi memastikan kanak-kanak malang yang menjadi mangsa diberikan perlindungan sewajarnya dan selesa semasa menghadiri perbicaraan kes.

"Saya difahamkan bahawa kemudahan kanak-kanak di mahkamah ini lebih baik daripada di London dan mudah-mudahan standard ini boleh dicapai di mahkamah-mahkamah lain nanti jika Yayasan Permata ada kemurahan hati untuk menderma lagi," katanya.

Selain Bilik Permata, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak itu turut dilengkapi dengan sistem 'Court Recording and Transcription' (CRT) yang membolehkan pengguna mengakses rakaman video dan visual prosiding mahkamah, selain kemudahan mesra orang kelainan upaya (OKU).

Sebuah bilik khas turut disediakan bagi menempatkan 'vulnerable witness' yang dilengkapi kemudahan sambungan video yang membolehkan keterangan saksi diberikan dari bilik itu dan dapat diakses oleh hakim, pendakwa raya dan peguam dari mahkamah terbuka.

Perdana menteri berkata prosiding mahkamah itu juga berbeza daripada kes biasa di mana kanak-kanak yang menjadi mangsa tidak akan berdepan dengan tertuduh, selain pintu masuk dan keluar berlainan disediakan.

"Bila beri keterangan, (mangsa kanak-kanak) tidak melihat wajah tertuduh dan tertuduh juga tidak dapat lihat wajah kanak-kanak tersebut," kata beliau.

Menurutnya kemudahan tersebut penting bagi menjaga ketenteraman jiwa dan priskologi kanak-kanak yang menjadi mangsa supaya mereka merasa bebas untuk memberi keterangan.

Mahkamah itu ditubuhkan berikutan saranan perdana menteri semasa merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!!! pada Mac lepas supaya sebuah mahkamah khas diwujudkan untuk mengendalikan prosiding jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Penubuhan mahkamah itu selaras dengan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 yang diluluskan di Parlimen pada April lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS