PAS hari ini mengalu-alukan keputusan jemaah menteri untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1980-an dan 1990-an.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab, kerajaan akan mewujudkan apa sahaja jawatankuasa yang boleh membuat penyiasatan terperinci secara adil.

“Saya fikir rakyat memang mahu melihat perkara ini disiasat dan diselesaikan secara adil.

“Oleh sebab itu kita mengalu-alukan keputusan mewujudkan RCI ini bagi membolehkan satu siasatan adil dilakukan,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia.

Skandal forex 1980 berlaku semasa tempoh pentadiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan penubuhan RCI yang diumumkan semalam itu dibuat ketika beliau kini muncul sebagai pengkritik paling lantang kerajaan.

Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam, kabinet sebulat suara bersetuju dengan syor pasukan petugas khas bahawa terdapat keperluan RCI diwujudkan bagi menyiasat krisis yang melanda Bank Negara lebih 25 tahun lalu.

PMO berkata bahawa penubuhan RCI akan membolehkan siasatan yang lebih terperinci dan menyeluruh mengikut undang-undang kerana pasukan petugas khas mendapati kerugian yang ditanggung adalah lebih besar daripada yang dilaporkan kepada parlimen dan kabinet..