Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
DTC: UM tunggu laporan rasmi, PM kata punca 'belum muktamad'

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Anuar Zaini Md Zain hari ini enggan mengulas punca kejadian kebakaran Dewan Tunku Canselor kerana masih menunggu laporan rasmi.

Beliau memberitahu, pihaknya masih menunggu laporan rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat dan hasil siasatan polis.

"Saya tidak boleh memberi apa-apa komen kerana belum menerima laporan rasmi," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian diploma Fakulti Perubatan dan Pusat Perubatan universiti itu di Kompleks Perdanasiswa pagi tadi.

Kebakaran yang memusnahkan 90 peratus bangunan DTC itu menyebabkan kerugian lebih RM12.4 juta dan turut memusnahkan 1,800 jubah serta 2,000 topi akademik untuk majlis konvokesyen yang asalnya dijadualkan bulan depan.

Dalam laporan terperincinya awal minggu ini, jabatan bomba menolak sebarang perbuatan khianat sebagai punca kebakaran pada awal pagi 29 Jun lalu.

Akhbar Berita Harian Khamis lalu melaporkan jabatan tersebut mengenal pasti tiga sebab kejadian itu iaitu sistem pendawaian yang telah usang, pertambahan penggunaan elektrik dan usia bangunan yang hampir 40 tahun.

Jabatan Bomba juga dilaporkan berkata sistem pendawaian DTC sudah usang kerana belum pernah diganti sejak bangunan itu dibina.

Perbuatan khianat belum ditolak

Perdana Menteri hari ini berkata siasatan kebakaran dewan itu "belum menemui punca kejadian itu secara muktamad tetapi kemungkinan perbuatan khianat masih belum boleh ditolak."

Menurut laporan agensi berita Bernama , Dr Mahathir Mohamad berkata beliau telah menerima laporan siasatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Kimia tetapi ketiga-tiga agensi itu "tidak dapat memastikan punca sebenar kejadian itu."

Ditanya sama ada unsur perbuatan khianat turut dinyatakan dalam laporan siasatan kebakaran itu, Dr Mahathir berkata: "Mereka tidak dapat mengesan secara jelas sama ada perbuatan khianat dilakukan, namun kita tidak boleh menolak kemungkinan itu".

"Mereka tidak dapat persetujuan tentang asal sebabnya perkara yang berlaku, walaupun ada tanda-tanda yang menunjuk kepada masalah elektrik, barangkali ada litar pintas dan sebagainya, tetapi tidak begitu jelas," tambahnya, seperti dilaporkan, selepas mempengerusikan sesi ketiga majlis Dialog Belanjawan 2002 di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting semalam berkata, polis dijangka menyiapkan siasatan menyeluruh dalam tempoh terdekat, terutama untuk mengetahui sama ada terdapat unsur khianat dalam kejadian tersebut.

Beberapa pihak sebelum ini mendakwa kejadian kebakaran DTC mungkin disebabkan perbuatan sabotaj yang dirancang oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS