Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengah hari: Laluan ke Pantai Timur sesak teruk
Diterbitkan:  Jun 24, 2017 1:17 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Aliran trafik kekal perlahan di beberapa kawasan di lebuh raya utama akibat pertambahan kenderaan setakat 12 tengah hari ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berkata kenderaan bergerak perlahan ke arah utara dari Rawang ke Bukit Beruntung, Bukit Beruntung ke Lembah Beringin dan Behrang ke Gopeng.

“Aliran trafik juga dilaporkan perlahan dari Jelapang menuju ke Sungai Perak, Kuala Kangsar ke Changkat Jering dan Bukit Berapit ke Bukit Beruntung,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata aliran trafik ke arah selatan pula hanya perlahan dari Seremban ke arah Pedas Linggi manakala kawasan lain masih terkawal.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia memberitahu aliran trafik semakin sesak di kawasan Gombak menuju ke Bentong akibat pertambahan kenderaan.

“Laluan kontra telah diaktifkan dari Km 57 hingga Km 59 untuk menyuraikan kesesakan trafik,” katanya.

Portal Berita Harian Online, pula melaporkan ribuan kenderaan yang bergerak keluar dari ibu kota menghala ke Pantai Timur menjelang sambutan Aidilfitri esok, terperangkap dalam kesesakan luar biasa.

Tinjauan mendapati, kesesakan bermula kira-kira tujuh kilometer sebelum Plaza Tol Gombak dan keadaan yang sama turut dialami pengguna jalan raya sehingga ke Plaza Tol Bentong.

Keadaan dijangka terus sesak dengan peningkatan aliran trafik menjelang tengah hari.

Portal itu turut memetik jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, keadaan trafik dilaporkan sesak bermula Lebuhraya Duta Ulu-Klang Expressway (DUKE) berhampiran Taman Greenwood, Batu Caves, Gombak sehingga hentian rehat dan rawat (R&R) Bentong di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Katanya, kesesakan trafik dipercayai berpunca apabila orang ramai yang ingin pulang ke kampung memulakan perjalanan pagi tadi.

"Kami percaya punca kesesakan di Gombak hingga Bentong disebabkan orang ramai meninggalkan ibu negara menghala ke Pantai Timur sejak pagi tadi berbanding semalam.

"Pemantauan menunjukkan jumlah kenderaan hari ini lebih banyak berbanding semalam," katanya sambil menambah aliran trafik di LPT dijangka kembali normal bermula tengah malam ini.

Lihat Komen
ADS