Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aidilfitri disambut dengan solat sunat, rumah terbuka

Cuaca cerah menyambut ketibaan Syawal tatkala umat Islam merayakan Aidilfitri dengan menunaikan solat sunat di masjid dan surau, mengadakan rumah terbuka dan mengunjungi sahabat handai dan saudara-mara. Hujan di sesetengah kawasan disambut sebagai satu rahmat.

Kebanyakan umat Islam menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing, yang mula pulang beberapa hari lepas sehingga semalam.

Mereka turut disertai ramai kalangan bukan Islam yang mengambil peluang cuti panjang bersempena perayaan itu.

Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan di sini bersama-sama lebih 17,000 jemaah dengan diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara yang turut hadir ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, serta dif-dif kehormat.

Selesai bertakbir raya dan solat sunat Aidilfitri, Seri Paduka kemudian berangkat ke majlis santapan pagi Aidilfitri di Istana Negara bersama-sama Najib, Amad Zahid dan barisan anggota jemaah menteri.

Sementara itu, rakyat daripada pelbagai lapisan menghadiri rumah terbuka dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri Kabinet di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, di Putrajaya hari ini.

Orang ramai mula berkumpul seawal 9 pagi di pintu masuk ke Seri Perdana. Rumah terbuka itu dari 10 pagi hingga 4 petang.

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid negeri Masjid Sultan Ahmad Shah di sini bersama-sama lebih 4,000 jemaah yang dipimpin imam Mohd Khalil Mohd Zari.

Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda-anakanda baginda. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Tengku Abdullah turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada orang ramai dan kanak-kanak di hadapan masjid berkenaan sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri itu dan selain itu, baginda turut mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota bermula 10 pagi.

Di KEDAH, Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir, Alor Setar. Turut turut berangkat menunaikan solat sunat itu bersama lebih 2,000 jemaah ialah Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah.

Selesai solat, Tunku Sallehuddin bersalaman dan beramah mesra dengan para jemaah.

Turut serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta barisan Exco kerajaan negeri.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, menyertai kira-kira 2,000 muslimin dan muslimat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim di Bukit Palah, di sini yang dipimpin imam besar masjid itu Datuk Mohammad Hashim.

Kemudiannya Idris dan barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri dijadual berkunjung ke majlis rumah terbuka Mohd Khalil di Istana Melaka di Bukit Beruang.

Di SARAWAK Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ribuan umat Islam di Masjid Jamek, Petra Jaya dekat Kuching.

Turut serta isteri Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang serta dif-dif kenamaan.

Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, Taib dan isteri menghoskan rumah terbuka di Astana Negeri Sarawak membabitkan dua sesi iaitu dari 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari sebelum disambung semula pada 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Abang Johari dan isterinya turut mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula 10 pagi hingga 4 petang.

Di PERAK, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Turut serta Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, barisan Exco kerajaan negeri dan pembesar negeri.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat berkenaan, baginda menziarahi pusara beberapa kerabat termasuk ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah di Makam Diraja yang terletak bersebelahan dengan Masjid Ubudiah.

Sementara itu, Zambry turut mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Jalan Raja Dihilir, di Ipoh bermula 2.30 petang hingga 6 petang.

Di GEORGE TOWN, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Pulau Pinang bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Solat sunat Aidilfitri itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Salahuddin Ghozali dan selepas solat sunat itu jemaah turut mengambil peluang bersalaman dengan Abdul Rahman.

Di KELANTAN, Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi bersama-sama Tengku Temenggong Kelantan Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Sebelum menunaikan solat sunat itu, baginda bertakbir raya bersama kira-kira 5,000 jemaah di masjid berkenaan dan turut bersalaman dengan para jemaah selepas selesai solat sunat itu.

Tengku Dr Muhammad Faiz kemudiannya berangkat ke Majlis Penghadapan di Istana Balai Besar di sini, untuk berhari raya bersama rakyat jelatanya sebelum berangkat ke Makam DiRaja Langgar bagi menziarahi pusara kerabat Diraja Kelantan.

Di TERENGGANU, Sultan Terenggganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah serta anakanda, Tuanku Muhammad Ismail menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang dengan diiringi Tengku Sri Temenggong Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Selesai bertakbir dan menunaikan solat bersama kira-kira 5,000 jemaah, baginda bersalaman dengan para jemaah sebelum berangkat ke Maqam Diraja yang terletak di kawasan masjid itu.

Baginda kemudian berangkat ke Istana Syarqiyyah bagi menghadiri Majlis Penghadapan Hari Raya Aidilfitri bersama kaum kerabat baginda, pembesar-pembesar negeri dan rakyat jelata.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong. Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah selain Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Khutbah Aidilfitri dibacakan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid di hadapan kira-kira 5,000 jemaah.

Sementara itu, seramai 400 orang termasuk anggota polis menghadiri jamuan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang dihoskan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab.

Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 15,000 rakyat setempat menghadiri majlis istana terbuka Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, di Istana Seri Menanti.

Terdahulu, Tuanku Muhriz menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Diraja Tuanku Munawir.

Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan dua lagi anakanda Sultan Ibrahim iaitu Tunku Idris dan Tunku Abdul Rahman menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 2,000 umat Islam di Masjid Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Solat dipimpin imam besar masjid itu, Hanif Naim dan selesai solat, baginda meluangkan masa bersalam-salaman dengan para jemaah.

Sambutan Aidilfitri dimeriahkan dengan majlis rumah terbuka Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kediaman rasminya, Saujana. Orang ramai mula tiba seawal 9 pagi dan berterusan bertambah biarpun hujan lebat menjelang tengah hari.

Sultan Johor dan anakanda baginda turut berangkat ke rumah terbuka itu yang turut dihadiri barisan Exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Arau, bersama kira-kira 3,000 jemaah yang diimamkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut berangkat Raja Perempuan Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco kerajaan negeri.

Majlis Istana Terbuka di Dataran Majlis, Istana Arau bermula 9.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Di KOTA KINABALU, ribuan tetamu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudin dan isteri, Toh Puan Norlidah Datuk R.M Jasni di Istana Negeri yang dihadiri masyarakat pelbagai kaum.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali serta beberapa menteri Kabinet negeri dan persekutuan.

Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah, selain dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh artis negeri ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS