Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Surat terbuka ‘lebai malang’ kepada ‘jembalang’ politik

SATIRA l Selepas habis Ramadan, kalian jembalang politikus pelbagai jenama sekular boleh kembali berkeliaran untuk menyetan seperti dahulu, kini dan selamanya.

Syawal melambangkan kemenangan dan pembebasan setan iblis memeriahkan suasana yang semakin bertaraf kleptokrasi kelas premier.

Sebulan lapar dahaga dan tidak campur tangan mana-mana urusan dalaman negara lain, kalian boleh kembali berjoli sakan dengan apa sahaja perompakan, rasuah, penyelewengan dan maksiat seperti sedia kala.

Ingatlah, matlamat menghalalkan cara. Cara dan kaedah semuanya halal selagi agama, bangsa dan negara tidak dijajah semula oleh kafir harbi mahupun pembangkang yang tiada langsung idea untuk membangunkan dan memajukan negara sejak azali.

Demi masa depan, para lebai malang taraf ular dalam semak, bersatulah di bawah kepimpinan mazhab Cash is King kerana dalam kemelut ekonomi yang semakin meratah kesiuman bangsa, dedak-dedak juga tidak murah.

Bersyukurlah, dengan adanya 1MDB dan Hang Jolo, kita semakin cepat mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Bukan lagi tahun 2020, tetapi hujung tahun ini.

Kajian syarikat Balakong

Itulah kejayaan transformasi, malah Transformasi Nasional 50 boleh dicepatkan kepada Transformasi 25, separuh dari perancangan.

Semuanya berkat doa para lebai malang yang hebat dengan tahaluf siyasi, takfiri dan u-turn sana sini.

Ringgit yang jatuh khabarnya akan segera naik mendadak sama nilai dengan dolar Amerika Syarikat menjelang Sukan SEA dan pilihan raya. GST juga akan dinaikkan untuk sama dengan GST di negara-negara maju dunia.

Kesesakan di mana-mana jalan raya sewaktu Hari Raya, ratusan ribu beraya dengan ‘Malaysian Official One’ adalah bukti telus, lestari dan istiqamah pemulihan ekonomi.

Bukti berdasarkan kajian sebuah syarikat penyelidikan kewangan antarabangsa yang berpangkalan di Balakong.

Ingatlah, suntikan dana, sama ada derma AS$2.6 bilion daripada Arab atau fi RM2.4 bilion kepada Yahudi Goldman Sachs untuk bon, hutang piutang negara yang hampir 1 trillion, semuanya syariah maqasid mengikut fatwa dan petua orang-orang tua kita.

Semua itu menjadi lambang perjuangan yang diterima, sama ada oleh Arab, Nasrani, Yahudi, komunis dan sosialis, terhadap kepimpinan wasatiyyah kita.

Dengan pinjaman ratus bilion ringgit dari China Komunis untuk menampung pelbagai projek, kita menjadi lebih kuat dan pertahanan negara terus unggul. Jangan kira lagi berapa komisen dan bayaran fi konsultan untuk politik wang, semuanya FDI mengikut piawaian halal.

Mengislamkan China dan Rusia

Kita boleh mengislamkan komunis China dan sosialis Rusia melalui hubungan politik matang dan sejahtera.

Mereka akan terpesona dengan Serambi Mekah di bawah sunnah. Mereka lebih terpesona dengan ceramah beradab kita yang diisi dengan maki hamun dan kafir mengkafir sesama sendiri.

Tidak perlulah kalian jembalang politikus memakai topeng-topeng selepas Ramadan. Tidak perlu bertarawih, berwitir, makan dengan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz, malah tidak wajib lagi menunjuk-nunjuk kealiman terlampau sebaik Syawal tiba.

Kalau ada intan berlian permata bernilai ratusan juta ringgit, janganlah segan untuk para suri rumah, mempamerkan, menayang-nayang seikhlasnya.

Kalau ada aset ratusan juta ringgit di Amerika Syarikat, United Kingdom, Cayman Islands, Maldives, apalagi Makkah dan Madinah, senaraikanlah untuk dinilai oleh Forbes. Kita mahu bangsa kita lebih kaya dari Bill Gates.

Itulah simbol kejayaan cemerlang, gemilang, terbilang setanding dengan perompak-perompak sejagat yang memimpin negara dunia ketiga.

Jangan baca laporan saman pemfailan DOJ yang setebal 251 muka surat kerana tidak ditulis dalam bahasa Melayu. Mereka menghina bahasa kebangsaan kita.

Lagipun semua yang ditulis hanyalah fiksyen dari imaginasi Mat Jenin yang diupah CIA, FBI dan Mossad semata-mata.

Mana ada bukti-bukti sahih? Tiada empat saksi dan tiada sumpah membaca al-Quran di mana-mana masjid.

Ingatlah, pesan moyang bestari kita bernama Hang Tuah, takkan hilang Melayu di dunia selagi kita wala dengan pemimpin walaupun mereka zalim, kejam, kleptokrat dan bangsat.

Jangan anak-anak cucu kita kencing di kubur kita, apalagi gali kubur-kubur dan bakar tulang temulang kerana kita terlalu percaya kepada tuduhan palsu DOJ, serta media kafir harbi yang tidak akan senang selagi konon-konon kleptokrat bermaharajalela.

Rakyat seramai 30 juta, termasuk warga asing halal dan pekerja asing tanpa izin, tetap tidak mahu campurtangan asing di negara bertuah ini. Biarpun kes penggubahan wang haram berkaitan syarikat nombor satu kita, 1MDB berlaku di lapan negara dan menggugat sistem kewangan mereka.

Kita mesti runtuhkan sistem kewangan riba mereka dan telah ada bank Yahudi ditutup hasil perjuangan Hang Jolo serta ‘Malaysian Official One’.

Negara-negara maju itu akan tetap berusaha ganas kerana mahu menjatuhkan kepimpinan negara kita yang maksum, beriman dan bertaqwa. Maka, kita mesti lawan sehingga ke lubang cacing.

Percayalah, ‘Malaysian Official One’ wajib disokong walau kita sama-sama terjun ke lubang dan terkambus bersama api!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Satira ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS