Bloomberg: Ringgit mata wang terkukuh di Asia
Ringgit Malaysia dilaporkan sebagai mata wang Asia paling kukuh, yang mendorong kepada spekulasi bahawa pilihan raya awal bakal diadakan.
Menurut Bloomberg hari ini, ringgit meningkat lebih dua kali ganda pada suku tahun ini berbanding mata wang terbaik seterusnya - Renminbi China - meskipun dilanda skandal 1MDB.
"Peralihan ketara itu bermakna bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dilanda serangan politik dan protes sejak 2015, atas tuduhan berkaitan 1MDB mungkin mengadakan pilihan raya awal untuk mengukuhkan kuasa beliau," kata laporan itu.
Laporan itu turut memetik pengurus dana yang berpangkalan di Hong Kong, Alan Richardson sebagai berkata, Samsung Asset Management sedang membeli saham perbankan, hartanah, dan pembinaan di Malaysia dalam jangkaan bahawa kerajaan akan menyuntik dana menjelang pilihan raya.
Sementara itu, Bernama melaporkan ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan sokongan belian sederhana terhadap mata wang tempatan itu, kata peniaga.
Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada paras 4.2920/2960 berbanding dolar AS daripada 4.2960/2990 semalam.
Pelabur lebih berminat membeli mata wang Asia, termasuk ringgit berbanding dolar AS selepas mata wang itu diniagakan rendah berbanding euro, berikutan pengumuman Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Mario Draghi bahawa bank pusat itu akan mengurangkan pakej rangsangan tahun ini.
"Mata wang Asia mengambil kesempatan daripada kelemahan dolar AS. Dolar AS jatuh ke paras rendah hampir setahun semalam berbanding euro berikutan pelabur mengambil kira langkah mengetatkan dasar monetari di Eropah," katanya.
Berbanding kebanyakan mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakan rendah kecuali berbanding yen.
Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1047/1090 berbanding 3.0996/0020.
Berbanding euro, ringgit lebih rendah kepada 4.8869/8923 daripada 4.8798/8845, menyusut berbanding pound kepada 5.5556/5616 daripada 5.5053/5109 tetapi mengukuh berbanding yen kepada 3.8233/8272 daripada 3.8289/8333 semalam.

