Gerakan fail injunksi hentikan projek terowong P Pinang
Gerakan sedang memfailkan injunksi untuk menghentikan projek terowong bawah laut Pulau Pinang termasuk tiga jalan darat yang merupakan sebahagian daripada projek itu.
Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, biro perundangan parti itu sedang mengkaji perkara berkenaan.
"Apabila kita melihatnya, terdapat sesuatu yang tidak kena dengan projek ini. Oleh itu, Gerakan mungkin mempertimbang untuk memohon injunksi mahkamah bagi menghentikan keseluruhan projek jalan dan terowong.
"Ia sementara menunggu siasatan terhadap tuduhan rasuah, salah laku, maklumat yang salah dan penyalah gunaan dana awam," kata Lau pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.
Projek RM6.34 bilion adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang dijadualkan siap pada tahun 2030 tetapi permulaan pembinaan projek terowong itu ditangguhkan sejak tahun 2013.
Projek terowong itu terdiri daripada empat pakej: Jalan dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang, jalan dari Lebuhraya Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam, jalan dari Lebuhraya Dr Lim Chong Eu ke Gurney Drive dan terowong bawah laut itu sendiri yang akan menjadi laluan ketiga yang menghubungkan Pulau Pinang ke Seberang Perai.

