Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada lagi peruntukan dibeku di P Pinang
Diterbitkan:  Jun 30, 2017 6:01 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Semua peruntukan kepada beberapa ADUN yang dibekukan di Pulau Pinang telah diserahkan ke kawasan  mereka, kata setiausaha kerajaan negeri, Farizan Darus.

Sebelum ini kerajaan negeri menyekat peruntukan itu sementara menunggu penjelasan mengapa mereka gagal menghadiri upacara angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, April lalu.

Farizan berkata salah seorang wakil rakyat berkenaan iaitu ADUN Penanti Dr Norlela Ariffin, memohon maaf kepadanya kerana mengatakan tidak menerima jemputan untuk menghadiri majlis yang diadakan pada 29 April lalu.

"Memandangkan beliau telah memohon maaf, dalam semangat Aidilfitri, kami menerima dan meluluskan peruntukan di kawasannya," katanya pada sidang akhbar hari ini yang dihadiri ketua menteri, Lim Guan Eng dan exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow.

Bulan lalu, Lim mengumumkan peruntukan bagi beberapa kawasan DAP dan PKR ditahan sementara menunggu penjelasan mengenai mengapa mereka tidak dapat menghadiri istiadat berkenaan.

Norlela dan beberapa wakil rakyat PKR memilih untuk menghadiri konvensyen parti itu di Seberang Jaya, yang dihadiri pemimpin parti termasuk presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Bagaimanapun, Wan Azizah meninggalkan acara itu lebih awal sebelum menghadiri majlis pelantikan Yang di-Pertua Negeri yang bermula kira-kira jam 4 petang.

Apabila diberitahu bahawa dana itu dibekukan, Norlela menyatakan keraguannya di Facebook dan mengkritik Lim yang juga setiausaha agung DAP.

Berikutan itu, Gerakan yang merupakan seteru DAP menuduh kerajaan negeri meminggirkan dan membuli PKR. Bagaimanapun, DAP dengan tegas menolak dakwaan itu.

Semasa sidang akhbar hari ini, Lim berkata wakil rakyat DAP juga menghadapi tindakan sama dan bukan hanya dari PKR.

"Kami merasakan tindakan tidak menghadiri majlis kerajaan adalah serius, jadi kami memutuskan untuk menahan peruntukan mereka sehingga mereka sendiri memberikan penjelasan.

"Mereka harus diingatkan bahawa tugas wakil rakyat turut melibatkan kehadiran pada semua majlis rasmi kerajaan negeri," katanya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS