Chow: Gerakan sabotaj projek untuk rakyat P Pinang
Cadangan Gerakan untuk memfailkan injunksi bagi menghentikan projek tiga jalan utama dan terowong bawah laut adalah usaha mensabotaj rancangan yang memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang, kata pengerusi DAP negeri itu.
Chow Kon Yeow menafikan dakwaan Gerakan bahawa terdapat amalan rasuah, salah laku dan penyalahgunaan dana awam dalam projek bernilai RM6.34 bilion itu.
"Kami menafikan dakwaan-dakwaan ini yang telah dilaporkan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 tanpa sebarang tindakan diambil terhadap kerajaan Pulau Pinang," kata Chow dalam satu kenyataan.
Chow berkata, Gerakan cuba "mensabotaj" kerana khuatir parti itu akan mengalami kekalahan yang teruk apabila projek-projek infrastruktur tersebut dilaksanakan dengan jayanya.
"Sebaik sahaja kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar bagi jalan-jalan utama diperoleh dalam beberapa bulan akan datang, konsortium itu akan dapat memulakan kerja-kerja pembinaan," kata Chow, yang merupakan exco kerajaan tempatan, pengurusan lalu lintas dan tebatan banjir.
Beliau merujuk sidang akhbar Gerakan pagi ini, di mana para pemimpin parti itu bercadang memfailkan injunksi untuk menghentikan projek Terowong bawah laut di Pulau Pinang, yang merangkumi pembinaan tiga jalan penghubung utama.
Naib presidennya Dominic Lau mempersoalkan mengapa kerajaan Pulau Pinang memulakan bayaran kepada pihak konsesi, Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd sedangkan tiada pembinaan dimulakan.
Zenith ditawarkan tugas berkenaan pada 2013 dan menjelaskan kos projek secara terpeinci apabila disoal menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang mendakwa Pulau Pinang terlebih membayar firma itu bagi yuran rundingan sebanyak 400 peratus.
Menyatakan pasukan peguamnya akan mengkaji perkara itu, Lau menambah bahawa injunksi itu sedang menunggu siasatan terhadap tuduhan "amalan rasuah, salah laku dan penyalahgunaan dana awam".
Tetapi Chow berkata pentadbirannya telah menjelaskan sepenuhnya kos berkaitan pelaksanaan projek itu, yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion yang dijangka siap pada tahun 2030.
"Kami menjelaskan secara terperinci bahawa bayaran yang dibuat adalah untuk kerja-kerja sebenar, termasuk kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk awal akhir dan semua kajian berkaitan," kata Chow, yang merupakan wakil rakyat Padang Kota.

