Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSATU dakwa sepanduk provokasi papar Kit Siang

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa pihak tertentu melakukan provokasi dengan meletakkan sepanduk di sekitar Gelang Patah, Johor dengan menggambarkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai ketua mereka.

Sepanduk ucapan Hari Raya Aidilfitri itu memaparkan gambar Lim bersama-sama Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, Ir Nasir Hashim dan timbalan ketua bahagian BERSATU Gelang Patah, Samat Atan.

Bagaimanapun imej anggota parlimen Gelang Patah itu diletakkan di tengah-tengah dan lebih besar daripada pemimpin BERSATU berkenaan.

Nasir dalam satu kenyataan berkata sepanduk itu sengaja dipasang untuk menggambarkan kepada orang Melayu di Gelang Patah bahawa parti itu hanya menjadi "budak suruhan" DAP.

"Banner ini bermotifkan untuk melaga-lagakan saya dengan Samat seolah olah saya akan terkesan dengan gambar saya yang kecil dan Samat lebih besar daripada saya.

"Banner ini juga berniat untuk menunjukkan seolah-olah saya dan Samat sebagai budak suruhan Lim Kit Siang dengan peletakan gambar Lim lebih besar dan dihimpit oleh saya dan Samat," katanya.

Nasir berkata, tiada sebab sepanduk itu hanya memaparkan pemimpin BERSATU dan DAP kerana HARAPAN terdiri daripada empat parti termasuk Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR.

Beliau berkata sepanduk itu ditempatkan di kawasan majoriti Melayu dalam usaha menakutkan mereka dan memainkan sentimen perkauman.

Sementara itu, Samat semalam membuat laporan polis berhubung sepanduk berkenaan.

"Saya menganggap bahawa perbuatan dan penggantungan banner tersebut berniat jahat dan untuk menggambarkan kepada orang-orang Melayu dalam kawasan DUN Nusajaya bahawa saya bersekongkol dengan Lim Kit Siang.

"Untuk makluman, saya telah mendapat pengesahan daripada DAP Gelang Patah bahawa mereka telah mengesahkan tidak terlibat dalam penggantungan banner tersebut," jelasnya dalam laporan polis.

Nusajaya dan Skudai berada di kawasan Parlimen Gelang Patah.

Ketika dihubungi, wakil dari pejabat Lim di Gelang Patah, Ng Siam Luang menafikan parti itu mempunyai kaitan dengan sepanduk berkenaan.

Ng turut menunjukkan sepanduk ucapan selamat hari raya dari DAP, yang hanya memaparkan gambar Lim.

Lihat Komen
ADS