Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lim cipta sejarah, kekal jawatan walau dituduh rasuah'
Diterbitkan:  Jul 1, 2017 7:06 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng 'melakar sejarah' dengan menjadi satu-satunya pemimpin yang enggan meletak jawatan walaupun menghadapi tuduhan rasuah, kata pasukan komunikasi strategik BN hari ini.

"Tidak adil bagi rakyat Pulau Pinang bila ketua menteri mereka terus mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama dan satu-satunya pemimpin negara yang mengekalkan jawatan meskipun menghadapi banyak tuduhan rasuah," kata timbalan pengarahnya Eric See-To dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tuduhan rasuah Lim yang kini memasuki tempoh setahun.

Pada 30 Jun tahun lepas, Lim didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menyalahgunakan kuasa beliau berhubung pengezonan semula sebidang tanah.

Beliau juga menghadapi pertuduhan lain di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana didakwa memperoleh banglo di bawah nilai pasaran. Lim bagaimanapun kekal menyatakan tuduhan itu bermotif politik.

"Memandangkan Guan Eng berpendapat bahawa dia tidak bersalah atas tuduhan rasuah, maka dia harus membenarkan kes mahkamah diteruskan dan menjawab di mahkamah serta bukannya terus mencabar Akta SPRM sebagai tidak berperlembagaan, yang hanya menangguhkan kes mahkamahnya.

"Ia adalah taktik berlengah oleh Guan Eng yang merosakkan peluangnya untuk membuktikan tidak bersalah," katanya.

Perbicaraan Lim, bersama ahli perniagaan Phang Li Koon, bermula pada 27 Mac tetapi ditangguhkan sementara menunggu persoalan perlembagaan.

Beliau mencabar Seksyen 62 Akta SPRM yang menyatakan bahawa menurut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah, tertuduh mesti menyerahkan satu kenyataan pembelaan dan satu salinan mana-mana dokumen yang akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada keterangan kepada pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.

Peguam Lim berhujah bahawa ia adalah tidak berperlembagaan bagi ketua menteri untuk dipaksa mengemukakan bukti pembelaannya kepada pendakwaan sebelum perbicaraan bermula sedangkan pendakwaan tidak perlu melakukan perkara yang sama.

Lihat Komen
ADS