DAP sabotaj parti sendiri, kata Gerakan
Gerakan menafikan dakwaan DAP bahawa parti itu melakukan sabotaj terhadap projek kerajaan Pulau Pinang yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
Naib Presiden Gerakan, Dominic Lau merujuk kenyataan exco Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengenai projek kerajaan negeri untuk membina tiga jalan raya dan terowong bawah laut di negeri itu.
Lau berkata pembinaan projek itu tidak dimulakan walaupun jadual asal pembinaan jalan pertama dirancang pada awal tahun 2015 dan siap tahun ini.
"Sekarang kerajaan Pulau Pinang secara rasmi menyatakan bahawa pembinaan jalan pertama itu hanya akan bermula pada pertengahan tahun depan - iaitu lewat sekurang-kurangnya 3 setengah tahun walaupun ratusan juta telahpun dibayar.
"Tiada jalan dan tidak ada pembinaan dari projek ini, oleh itu, tidak ada sabotaj.
"Sekiranya ada sabotaj yang terlibat, sudah tentu DAP yang telah mensabotaj diri mereka dengan kelewatan yang lama dan pembayaran yang begitu tinggi telah dibuat," katanya.
Kontraktor terbabit menafikan terlebih dibayar untuk kajian permulaan projek itu, dengan menyatakan bahawa bayaran merangkumi banyak aspek lain.
Gerakan bercadang untuk memfailkan injunksi terhadap projek berkenaan.
Lau berkata DAP tidak harus mempersoalkan mengenai tindakan undang-undang kerana parti itu juga menggunakan strategi sama di Pulau Pinang ketika berada di pihak pembangkang.
"DAP tidak boleh mengamalkan double standard. Mengetahui projek kepentingan awam kontroversi adalah hak mana-mana masyarakat demokratik.
"Ia bukan satu tindakan sabotaj atau cemburu tetapi satu cara untuk memaksa kerajaan untuk telus mengenai pengurusan projek-projek kepentingan awam," katanya.

