Merit cabaran larangan perjalanan Zunar pada 25 Sept
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 25 September untuk mendengar merit cabaran semakan kehakiman pelukis kartun politik Zulkiflee Anwar Ul Haque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, berhubung larangan perjalanan luar negara yang dikenakan ke atasnya sejak tahun lalu.
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datin Azizah Nawawi di kamarnya semasa pengurusan kes hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Zunar, Melissa Sasidaran, ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini.
Pada 14 April lalu, Zunar diberikan kebenaran untuk mencabar larangan perjalanan Jabatan Imigresen yang dikenakan ke atas dirinya.
Dalam prosiding semakan kehakiman, permohonan atau kebenaran dari mahkamah perlu didapatkan terlebih dahulu sebelum merit penuh didengar. Ini adalah untuk memastikan bahawa permohonan itu bukannya secara semberono atau untuk menyakitkan hati.
Kartunis politik itu dilarang ke luar negara apabila dia dihalang menaiki penerbangan ke Singapura pada 17 Oktober tahun lalu untuk menghadiri sebuah forum di Universiti Nasional Singapura.
Berikutan itu, Zunar memfailkan cabaran undang-undang berkenaan pada Disember lalu di mana beliau menamakan ketua pengarah imigresen, menteri dalam negara dan kerajaan sebagai responden dalam permohonannya.

