Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Mungkin perbezaan pendapat, bukan pergeseran’
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 12:28 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob menafikan wujudnya persengketaan antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Ahmad berkata apa yang berlaku, berkemungkinan adalah perbezaan pendapat antara kedua-dua mereka dalam sesuatu isu, namun ini tidak melibatkan hal yang berkaitan dengan dasar parti.

"Saya ada dalam apa jua perjumpaan parti, mesyuarat dan sebagainya, tidak ada pergeseran, cuma berlaku hanyalah berlainan pendapat sahaja disebabkan oleh satu perkara tetapi bukan melibatkan dasar parti," katanya yang dipetik Bernama.

Menteri Besar Kelantan itu berkata dakwaan itu sengaja diwujudkan oleh musuh politik PAS untuk mengaburi masyarakat kerana pihak berkenaan cuba melakukan bermacam-macam cara untuk memecahbelahkan PAS.

Sementara itu, Sinar Harian memetik Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan yang mendakwa terdapat usaha segelintir pihak yang cuba melaga-lagakan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Katanya, sebuah portal politik sedang berusaha untuk melaga-lagakan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim.

“Mereka mendakwa timbalan presiden lantik semula pihak yang telah dipecat oleh presiden parti.

“Mereka ini cuba mengucar-ngacirkan PAS setelah menyedari kedudukan mereka kian retak menanti runtuh.

“Saf kepimpinan PAS semakin utuh dan bersiap berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya dilaporkan sebagai berkata.

Menurutnya, Datuk Mustafa Ali yang adalah bekas setiausaha agung PAS digugurkan jawatan sebagai pengarah pilihan raya namun dilantik kembali sebagai pengerusi badan penasihat parti itu oleh Abdul Hadi.

Selain itu katanya, Mustafa sebagai pengerusi, turut dilantik menjadi ahli lembaga penasihat itu adalah tokoh veteran politik PAS iaitu Dr Sanusi Daeng Mariok (bekas naib presiden PAS), Abdul Halim Abdul Rahman (bekas bendahari PAS dan timbalan Menteri Besar Kelantan) dan Subky Latif (penulis veteran).

“Sama juga dengan pelantikan anggota yang lain. Kemudiannya dimuktamadkan dalam mesyuarat bulanan PAS yang dipengerusikan Tuan Ibrahim ekoran keuzuran presiden,” katanya.

Nasrudin turut berkata, PAS tidak tergugat dengan propaganda murahan pihak yang menyimpan dendam terhadap parti Islam itu.

“Makin teruk PAS diserang, makin erat kami bersatu.

“Mereka ini mengamalkan politik pak pandir moden. Kalau parti aku sudah retak, parti kamu tidak boleh dibiar kuat,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS