Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi sangat konsisten selesaikan masalah 1MDB
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 1:22 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sentiasa sangat konsisten mendesak pendedahan hasil keputusan siasatan dalam negara terhadap isu-isu kontroversi, termasuk skandal 1MDB, kata setiausaha akhbarnya, Abdul Malik Razak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Malik menyenaraikan 16 kali sejak 2014, di mana Abdul Hadi merakamkan kebimbangannya terhadap urusan 1MDB.

Ini, antara lain termasuk menerusi kenyataan media, ucapan, jawapan bertulis soalan di Parlimen dan ucapan di Dewan Rakyat. Abdul Malik berkata contoh yang dibangkitkannya itu menyentuh 1MDB secara langsung atau tidak langsung.

“Kesimpulannya, jelaslah bahawa pendirian presiden sejak dari awal sangat konsisten dalam menyelesaikan masalah 1MDB dengan mendesak hasil bedah siasatan yang telus dilakukan di peringkat dalaman negara tanpa melibatkan campur tangan asing.

“(Ini termasuk) melakukan reformasi kepada sistem perundangan negara, pengasingan kuasa dan kebebasan kepada Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Polis daripada cengkaman kuasa kabinet,” kata Abdul Malik.

Beliau menyenaraikan contoh-contoh itu di laman Facebook berikutan laporan sesetengah media yang menimbulkan keraguan seolah-olah Abdul Hadi mempertahankan 1MDB di sebalik saman pelucutan sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung aset berkaitan 1MDB.

DOJ sedang berusaha untuk merampas aset itu kerana mendakwa ia membabitkan aktiviti pengubahan wang haram yang berlaku di negara itu.

Menurut Abdul Malik, sehingga kini masih berlegar di media massa, persepsi buruk dengan niat jahat yang dimainkan oleh musuh politik untuk menggambarkan Abdul Hadi menyokong bahkan mempertahankan salah urus tadbir 1MDB.

“Sedangkan umum mengetahui bahawa sudah puluhan tahun, presiden PAS tegar melawan kezaliman yang zahir atau tersembunyi disebalik wayang kulit yang dipentaskan, tidak kira Umno-BN atau parti yang sama sifatnya.

“Bahkan sejarah perlawanan Umno dan PAS dalam pilihan raya, hanya sekali sahaja PAS tidak menentang Umno ketika PAS bersama-sama dalam BN, selebihnya 12 kali pilihan raya PAS berlawan di kerusi yang ditandingi Umno termasuklah PRU14 akan datang.

“Malahan presiden (Abdul Hadi) tidak pernah menjadi ahli Umno, sedangkan sebahagian pimpinan parti pembangkang lain adalah bekas pimpinan dan ahli Umno,” kata Abdul Malik .

Abdul Malik berkata pada masa ini, laporan ketua audit negara mengenai 1MDB masih kekal sebagai dokumen rahsia dan kegagalan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat firma pelaburan negara yang bermasalah itu mengundang ketidakyakinan terhadap ketelusan kerajaan.

Justeru itu, katanya, Abdul Hadi mendesak dilakukan segera reformasi ke atas undang-undang negara dan ketelusan dalam siasatan serta pendakwaan dalam menyelesaikan masalah 1MDB tanpa melibatkan campur tangan kuasa asing.

Menurutnya, ini telah diperluaskan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin lain.

“Kepada musuh politik, sila belajar mengeja dan membaca sebelum mencari di mana perkataan yang menyebut presiden PAS menyokong salah urus tadbir 1MDB,” kata Abdul Malik.

Lihat Komen
ADS