Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
48 jam lagi untuk Qatar atau terima sekatan tambahan
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 1:37 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

GLOBAL Arab Saudi dan sekutunya bersetuju melanjutkan tempoh 48 jam lagi untuk Qatar memenuhi 13 tuntutan mereka seperti dicadangkan Kuwait.

Agensi berita Kuwait KUNA, melaporkan Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber meminta Arab Saudi dan sekutunya itu memberi tempoh lanjutan berkenaan.

Kuwait dilantik sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kemelut itu yang menyaksikan Qatar dipulaukan selepas didakwa mendukung keganasan serantau dan bekerjasama dengan Iran.

Sebelum ini, Saudi memberikan tempoh 10 hari – yang tamat semalam. Arab Saudi menegaskan tuntutan itu tidak boleh dirunding sama sekali.

Bagaimanapun, Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan tuntutan dikemukakan patut ditolak.

Tuntutan itu termasuk penutupan rangkaian stesen TV Al Jazeera dan pangkalan tentera Turki di Qatar.

"Semua orang sedar tuntutan ini bermakna kedaulatan Qatar dicabuli, menutup ruang kebebasan dan mengenakan mekanisme yang mengekang Qatar.

"Kami percaya bahawa dunia tidak ditadbir oleh kata dua, kami percaya bahawa dunia ditadbir oleh undang-undang antarabangsa, ia ditadbir dengan peraturan yang tidak membenarkan negara-negara besar membuli negara-negara kecil," katanya ketika berkunjung ke Rom, Itali.

Bagaimanapun, Saudi menegaskan jika Qatar gagal memenuhi semua tuntutan itu dalam tempoh berkenaan, sekatan tambahan akan dikenakan di samping penutupan sempadan dan pembatalan hubungan diplomatik sedia ada.

Lihat Komen
ADS