Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS akui BN belum mampu ditumbangkan kerana...
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 4:55 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) belum cukup untuk menjadi faktor kekalahan parti pemerintah itu pada pilihan raya umum yang datang.

Ini kerana, jelas Iskandar, pembangkang gagal meyakinkan rakyat penyelesaian kepada masalah-masalah yang membelenggu masyarakat dan negara.

"Kenaikan kos sara hidup dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memang menekan rakyat tetapi rakyat mahu melihat penyelesaian dari pembangkang sebelum memberi undi kepada mereka.

"Rakyat hari ini semakin bijak dan pembangkang tidak boleh sekadar memainkan isu-isu sahaja tetapi rakyat mahu melihat dengan terang dan jelas bagaimana negara ini akan ditadbir jika pembangkang diberi kuasa," kata beliau dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, pembangkang harus menzahirkan dasar dan polisi untuk semua perkara yang akan memberi kesan kepada hidup rakyat dengan tidak meminggirkan mana-mana isu.

"Oleh itu, amat penting bagi para pemimpin politik untuk turun ke bawah dan bertemu rakyat di akar umbi. Dapatkan maklumat yang tepat. Apa yang penting kepada pemimpin politik tidak semestinya penting kepada rakyat," tambahnya.

Pada masa yang sama, Iskandar menambah, kejayaan pentadbiran di Selangor dan Kelantan juga mesti diberi publisiti yang meluas untuk meyakinkan rakyat akan kemampuan pembangkang.

"Tetapi pembangkang tidak boleh merasa terlalu yakin walaupun BN sedang sarat dengan masalah seperti isu 1MDB kerana di dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Tambahan pula jika tarikh pilihan raya masih jauh lagi," jelasnya.

Lihat Komen
ADS