Syarat lulus BM: Menteri jelaskan pada kabinet esok
Kementerian Kesihatan akan memberi penjelasan terperinci berhubung kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pengambilan pegawai perubatan UD41 pada mesyuarat jemaah menteri, Rabu ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata penjelasan itu perlu dibuat bagi mengelak kekeliruan mengenai isu tersebut.
"Saya melihat banyak pihak yang salah faham tentang isu ini.
"Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pun telah mengeluarkan kenyataan (bagi menjelaskannya) namun, masih ada pihak yang tidak memahami kenyataan itu.
"Jadi, lebih baik saya berikan penjelasan kepada kabinet terlebih dahulu sebelum kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas Program 'Inspire to Aspire 2017' di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata demikian susulan gesaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang meminta Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun menjelaskan mengenai isu itu.
Dr Noor Hisham dalam kenyataannya kelmarin berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi persetujuan untuk melonggarkan syarat lantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan pada 23 Feb lepas
Beliau menjelaskan kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu itu bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 untuk graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan subjek berkenaan di peringkat SPM atas pelbagai sebab.
- Bernama

