Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarat lulus BM: Hilmi kata wujud kekeliruan
Diterbitkan:  Jul 4, 2017 5:03 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Kementerian Kesihatan menyifatkan wujud kekeliruan berhubung isu kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pengambilan pegawai perubatan UD41 sehingga ia menjadi kontroversi.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, sebenarnya keputusan itu adalah inisiatif Kementerian Kesihatan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, berbanding syarat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini yang tidak mewajibkan syarat lulus Bahasa Melayu bagi lantikan tetap pegawai perubatan sejak 2003.

"Sebenarnya ia bukan melonggarkan (syarat lulus Bahasa Melayu) tapi meningkatkan lagi syarat itu kepada perlu lulus Bahasa Melayu untuk menjadi pegawai perubatan kerana sejak tahun 2003, JPA benarkan mereka (pegawai perubatan) dilantik walaupun tidak lulus (Bahasa Melayu) kerana waktu itu negara kekurangan doktor dan terpaksa import (doktor) daripada luar.

"Doktor luar ketika itu memang tidak mengambil Bahasa Melayu peringkat SPM dan boleh diserap bekerja dengan Kementerian Kesihatan tapi sekarang kami tambah baik serta telah berbincang dengan JPA untuk tingkatkan syarat perlu lulus BM lagipun jumlah graduan perubatan tempatan semakin ramai, sebab itu kita boleh tetapkan syarat itu," katanya kepada pemberita.

Hilmi berkata demikian selepas pelepasan Larian Obor Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rusa, peringkat Parlimen Balik Pulau hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa JPA telah memberi persetujuan untuk melonggarkan syarat pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan pada 23 Feb lepas.

Dr Noor Hisham dilapor berkata kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu itu bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 untuk graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan subjek berkenaan di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Dr Hilmi yang juga anggota Parlimen Balik Pulau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membolehkan pengamal perubatan yang tidak mempunyai kelulusan Bahasa Melayu menduduki peperiksaan hanya subjek BM peringkat SPM berbanding enam subjek.

"Graduan perubatan yang sedang menjalani latihan di hospital tidak perlu lulus Bahasa Melayu tetapi jika mahu menjadi pegawai perubatan UD41, mereka perlu lulus subjek itu dalam SPM dan kami akan berbincang hal ini dengan KPM supaya hanya ambil subjek itu sahaja dan bukan sekurang-kurangnya enam subjek seperti biasa.

"Jadi mereka ada masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk lulus dalam subjek Bahasa Melayu peringkat SPM kerana menjalani latihan sebagai doktor pelatih selama tempoh itu jika memilih untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan tetapi jika ingin bekerja di hospital swasta atau membuka klinik sendiri, mereka tidak perlu berbuat demikian (lulus Bahasa Melayu)," katanya.

Beliau berkata jumlah graduan perubatan yang menjalani latihan dengan hospital kerajaan dan tidak mengambil subjek Bahasa Melayu dalam SPM ketika ini adalah sedikit iaitu tidak sampai satu peratus.

Katanya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) Bahasa Melayu dan pihak yang keliru berhubung isu berkenaan bagi memberi penjelasan sebenar berhubung perkara itu hujung minggu ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS