Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertikaian berterusan dengan S'pura, M'sia minta tafsiran ICJ
Diterbitkan:  Jul 4, 2017 7:14 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Malaysia hari ini mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk tafsiran penghakiman 2008 mengenai pertikaian kedaulatan antara Malaysia dan Singapura membabitkan Pulau Batu Puteh, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Menurut beliau, tafsiran itu diperlukan kerana jawatankuasa dua hala yang ditubuhkan untuk melaksanakan penghakiman kes berkenaan menemui jalan buntu.

"Salah satu sebab kebuntuan ini ialah pihak-pihak gagal menyetujui tafsiran penghakiman 2008," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan keputusan ICJ, kedua-dua negara mengemukakan sejumlah besar nota protes rasmi terhadap satu sama lain mengenai kejadian yang didakwa berlaku di kawasan yang dipertikaikan.

Oleh itu, Mohamed Apandi berkata tafsiran penghakiman ICJ 2008 semakin mendesak memandangkan terdapat jumlah trafik udara dan maritim yang semakin meningkat di kawasan tersebut.

Selain Pulau Batu Puteh, kes itu juga menangani kedaulatan dua pulau berdekatan - Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan.

ICJ, dalam pengundian 12 lawan empat pada 2008 menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura. Manakala dalam pengundian 15 lawan satu memutuskan yang Terumbu Karang Tengah adalah milik Malaysia.

Walau bagaimanapun, ICJ mengambil keputusan bahawa Terumbu Karang Selatan pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia berada, tanpa menamakan sebarang negara secara khusus.

Mohamed Apandi berkata Malaysia sedang memohon pengisytiharan bahawa Terumbu Karang Selatan terletak di perairan negara dan kedaulatannya adalah milik Malaysia.

Beliau menambah bahawa Malaysia juga mahu pengisytiharan bahawa perairan di sekitar Pulau Batu Puteh kekal sebagai wilayah Malaysia.

Beliau berharap tafsiran ICJ dapat dijadikan panduan bagi kedua-dua negara untuk menguruskan zon maritim dan ruang udara mereka pada masa akan datang.

Malaysia pada bulan Februari lalu juga memohon semakan untuk mengkaji semula keputusan ICJ.

Mohamed Apandi pada ketika itu berkata permohonan untuk semakan adalah berdasarkan "fakta baru" yang ditemui oleh pihak Malaysia.

Bagaimanapun, peguam negara berkata permohonan baru ini untuk tafsiran berkenaan tidak berkaitan dengan permohonan awal Malaysia untuk mengkaji semula keputusan itu.

Lihat Komen
ADS