Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Kelantan minta buat laporan polis
Diterbitkan:  Jul 5, 2017 2:26 PM
Dikemaskini: Jul 6, 2017 3:06 PM

Kerajaan Kelantan tidak pernah mengarahkan sebuah syarikat mengutip wang bagi melaksanakan projek dagangan karbon di negeri tersebut.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob turut menasihati mana-mana pihak yang telah membuat bayaran kepada syarikat tersebut supaya tampil membuat laporan kepada pihak berwajib.

“Kerajaan negeri membuat penegasan bahawa kami tidak pernah mengarahkan atau meminta syarikat Climate Protector Sdn Bhd atau mana-mana syarikat mengutip wang untuk melaksanakan projek karbon trading (dagangan karbon) tersebut.

“Kerajaan negeri amat mengharapkan sesiapa yang membuat apa jua bayaran agar dapat membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berwajib,” kata Ahmad dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, Anggota Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa menggesa Bank Negara mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan tetapi memeterai perjanjian dengan kerajaan Kelantan.

Perjanjian itu, kata Husam, melibatkan kawasan hutan simpan seluas satu juta ekar.

Beliau yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) turut mempersoalkan kelayakan sebuah firma menguruskan tanah tersebut walaupun tidak mendapat kelulusan beroperasi daripada Bank Negara.

Kata Husam, Ketua Pegawai Eksekutif Climate Protectors Tang Too Siah juga adalah ahli lembaga penasihat sebuah syarikat yang menawarkan peluang pelaburan berasaskan cryptocurrency (mata wang digital).

Pada 9 Januari 2017, Kelantan memeterai perjanjian 30 tahun dengan Climate Protector bagi tujuan mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau dalam usaha kerajaan negeri itu memelihara hutan.

Pada 26 Jun, Ahmad mengumumkan projek perniagaan karbon bertaraf dunia itu diluluskan kepada Climate Protectors walaupun Bank Negara menamakan syarikat terbabit dalam senarai pemerhatian atau peringatan kepada pengguna tiga hari sebelumnya.

Kerajaan sedia bincang

Sementara itu Ahmad berkata Kelantan memperuntukkan tempoh 24 bulan untuk melakukan analisis saintifik, penilaian dan laporan saintis bertauliah bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan yang dikenal pasti.

“Fasa pelaksanaan seterusnya bergantung kepada tempoh kajian ini dengan melihat kepada keupayaan syarikat mengendalikan projek terbabit,” kata Ahmad.

Jelasnya, dalam tempoh kajian berlangsung, kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan pihak ketiga daripada institusi kewangan bagi perjalanan urus niaga yang akan dilaksanakan oleh syarikat terbabit.

Katanya, langkah itu dibuat bagi memastikan urus niaga berkenaan sah dari segi undang-undang tempatan dan antarabangsa.

Kerajaan negeri juga, kata Ahmad, sedia berbincang dengan mana-mana institusi atau negara yang sedang atau telah melaksanakan projek berkaitan dengan mengambil kira pandangan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Untuk rekod, dagangan karbon - atau dagangan pencemaran - adalah suatu dasar yang memang kontroversi.

Ia membawa konsep bahawa pencemaran adalah sebahagian daripada kos pengeluaran dan membantu syarikat perniagaan mematuhi had pengeluaran karbon yang ditetapkan sesebuah negara.

Menurut sebuah agensi pelobi dan penyelidikan alam sekitar, Fern, kajian menunjukkan amalan dagangan karbon tidak membantu mengurangkan penghasilan pencemaran.

Pasaran karbon didagangkan sama seperti mana-mana sekuriti atau komoditi menyebabkan ia tertakluk kepada manipulasi dan spekulasi.

Lihat Komen
ADS