Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi berniat jahat, sabotaj ekonomi M'sia - Rahman Dahlan

ULASAN Rafizi Ramli sekali lagi melampaui batas dengan menggesa dana di Malaysia untuk memboikot cadangan penyenaraian Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) di Bursa Malaysia dan mengaitkan Edra dengan 1MDB.

Melalui Edra, 1MDB berjaya melengkapkan sasarannya untuk melakukaN pembaharuan terhadap industri Penjana Kuasa Bebas (IPP) di mana pihak pembangkang sebelum pembaharuan ini berulang kali mengatakan perjanjian konsesi adalah berat sebelah kepada syarikat konsesi.

Ironinya, perjanjian konsesi berat sebelah itu ditandatangani ketika pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini bersama pembangkang dan rakan seperjuangan Rafizi.

Untuk mengimbau kembali, selepas 1MDB menyertai perniagaan IPP, kerajaan telah memulakan tender terbuka pertama bagi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada September 2012.

1MDB secara konsisten menawarkan bidaan paling rendah bagi pembaharuan PPA sekaligus membantu mewujudkan bidaan lebih rendah di kalangan pembida lain.

Penjimatan dari 1MDB

Hasil dari usaha itu, kebanyakan PPA yang sebelum ini adalah berat sebelah kini lebih adil malah analisa bank pelaburan turut mengesahkan dalam laporan mereka, perjanjian menyebelahi syarikat konsesi bagi IPP hanya tinggal sejarah.

Untuk makluman Rafizi, penjimatan dari kadar PPA yang lebih adil kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan subsidi gas Petronas sekaligus kepada kerajaan, diunjurkan bernilai hingga RM200 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Hasil dari usaha ini amat ketara hari ini. Berbanding mencatatkan kerugian dan memerlukan bantuan kerajaan sebagaimana berlaku pada masa lampau, terma dan kadar PPA yang adil di mana melibatkan 40 peratus dari kos, kini menyumbang kepada TNB yang turut mencatatkan keuntungan berbanding sebelum ini.

Manakala bil subsidi gas Petronas bagi 2015 adalah satu pertiga dari apa yang perlu ditanggung pada 2012, penjimatan sebanyak RM10 bilion.

Penjimatan besar ini dibelanjakan bagi pembangunan dan kebajikan yang memanfaatkan rakyat di kala kerajaan mengekalkan kadar elektrik rendah untuk semua.

Itu antara sebab mengapa sejak 2013, pembangkang tidak lagi bercakap mengenai perjanjian berat sebelah IPP berikutan kerajaan hari ini telah menyelesaikan masalah legasi yang bertahun lamanya melalui 1MDB.

Tender terbuka antarabangsa

Lanjutan dari itu, Edra telah dijual oleh 1MDB kepada pelabur asing melalui tender terbuka antarabangsa. Hari ini, 1MDB tidak lagi mempunyai sebarang kaitan perniagaan dengan Edra.

Rafizi seharusnya mengakui kerajaan dan 1MDB telah memainkan peranan yang baik dalam menyelesaikan masalah legasi yang dibawa dari pentadbiran lalu melalui perjanjian IPP berat sebelah ini.

Saya menggesa Rafizi menarik balik desakan tidak masuk akalnya untuk memboikot kerana ia bukan sahaja melemahkan keyakinan pelabur asing pada Malaysia atau membuatkan Edra dan syarikat lain membatalkan penyenaraian di Bursa Malaysia malah akan ke berpindah ke negara lain untuk penyenaraian.

Gesaan itu berniat jahat dan boleh ditafsirkan sebagai tindakan mensabotaj ekonomi.

Rafizi dinasihatkan untuk membenarkan pengurus professional dari dana tempatan untuk membuat keputusan samada pelaburan dalam Edra adalah keputusan perniagaan yang tepat atau sebaliknya atau menepati strategi perniagaan masing-masing dan bersandarkan fakta ekonomi yang tepat.


DATUK SERI ABDUL RAHMAN DAHLAN merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS