Teruskan, kata Guan Eng kepada Gerakan
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak tergugat dengan ancaman saman Gerakan bagi menyekat pembinaan tiga laluan utama yang menghubungkan terowong dasar laut antara bahagian pulau dan Seberang Prai.
"Kalau mereka nak buat, teruskan," kata Lim pada sidang media di George Town hari ini.
Bagaimanapun, Lim berkata, dia tidak tahu bagaimana sebuah kerajaan negeri boleh disaman ketika projek itu diserahkan melalui tender terbuka.
Amalan itu kata Lim bermaksud kontrak terbabit diberikan kepada firma yang menawarkan harga paling rendah.
"Tambahan pula semasa melaksanakan projek itu kerajaan negeri mematuhi semua norma tempatan dan antarabangsa. Jadi bagaimana boleh ada salah laku?" katanya.
Justeru kata setiausaha agung DAP itu, kerajaan negeri menunggu tindakan saman berkenaan daripada Gerakan kerana yakin tiada apa yang ingin disembunyikan.
Lim membuat komentar itu merujuk kepada kenyataan Naib Presiden Gerakan, Dominic Lau, yang mendakwa partinya sedang mempertimbangkan cadangan memfailkan injunksi mahkamah bagi menghalang projek bernilai RM6.34 bilion itu.
Ia dijangka siap menjelang 2030.
Kata Lau, peguam Gerakan sedang mengkaji kes berkenaan dan langkah mengemukakan permohonan itu bergantung kepada hasil siasatan terhadap dakwaan rasuah, salah laku, dan penyelewengan dana awam.
Tuduhan itu dikecam hebat Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Kata Chow, Lau sengaja bertindak begitu untuk mensabotaj projek kerajaan negeri yang memberi faedah kepada rakyat.

