Paling Popular
Terkini

SATIRA | Jika negara ini memutuskan bahawa bahasa Tamil menjadi bahasa rasmi, maka sayalah orang pertama yang akan tekun mempelajari bahasa berkenaan.

Sebab, ini adalah negara saya.

Saya memang bodoh begitu. Taat melulu. Kerana saya Melayu barangkali.

Ketaatan kepada negara adalah teramat penting. Kesatuan semua bangsa boleh dicapai dengan keseragaman bahasa.

Malang sedikit, negara memilih bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Dan semua orang tahu bahawa bangsa Melayu adalah bangsa paling jijik di negara ini.

Dan semua orang pun marah.

Setelah hampir 60 tahun merdeka, fasal bahasa pun masih belum dapat diselesaikan di negara ini.

Kerana apa? Kerana negara memilih untuk mengunakan bahasa daripada bangsa 'paling pemalas'; bangsa paling 'tidak bertamadun' di dunia.

Ia juga bangsa paling mundur di dunia, bangsa yang hanya baik untuk diperkudakan, bangsa pencuri. bangsa perogol, bangsa perompak, dan bangsa yang hanya jadi berguna apabila menjelang pilihan raya.

Tak apa tergagap-gagap

Memang semua orang mengaku "ini negara saya", namun untuk berbahasa Melayu, dibunuh mampus pun tidak akan kita mahu.

Biar mati namun untuk tunduk kepada bangsa yang hina ini, jauh panggang dari api. Melayu dan bahasanya adalah paling layak dibunuh, berdua.

Keengganan bertindak dalam apa hal sekalipun perlu diserta dengan asas bantahan yang murni. Kita bimbang jika sentimen kaum dijadikan alasan.

Tentu saja dengan belagaknya saya mengatakan saya pernah tinggal lama dan berjalan jauh di banyak negara luar.

Saya juga pernah melihat bagaimana sesuatu bangsa pribumi akan berasa jengkel apabila mendengar bahasa mereka dipinggirkan.

Tidak mengapa jika kita ini tergagap-gagap berbahasa Perancis di Paris misalnya, dan mereka sedaya upaya mahu faham apa yang mahu kamu disampaikan.

Dan kamu akan lebih dihormati kerana tahu di kandang apakah kamu waktu itu. Kadang-kadang dengan hanya sepatah perkataan asal tempat yang kamu lawati kamu akan dapati kemesraan penduduknya jadi bertambah.

Cuba kita menaiki kereta api di kota raya London dan berbahasa ibunda kamu. Dan saya yakin kita menjadi orang paling dibenci di dalam kereta api berkenaan.

Apa kamu tidak pernah lihat video tular bagaimana seorang pemuda Arab yang sedang berbual di telefon dengan ibunya - dalam bahasa Arab - dimarahi oleh orang Inggeris?

Itu namanya gila bayang

Mungkin - walaupun tidak akan berlaku - orang Inggeris itu lebih bodoh daripada bangsa Melayu (tapi itulah, mana mungkin ada bangsa yang lebih bodoh daripada Melayu).

Berbahasa asing daripada kelompok ramai biasanya mendatangkan syak.

Buang syak itu dengan bersatu dalam satu bahasa. Penyelesaian mudah tapi kebebalanlah yang menghalang kita daripada tunduk seperti padi yang semakin masak.

Semua bangsa di dunia punya budi bahasa baik. Hanya kebodohan sajalah yang memungkinkan kamu jadi sumbang kerana tebalnya benci kamu kepada sesuatu bangsa atau mungkin juga bahasanya.

Bahasa tidak penting tetapi menghormatinya adalah kemudahan mencari titik temu semua bangsa.

Malangnya kita ini dilahirkan di sini, di Malaya yang majoriti rakyat adalah orang Melayu yang bahasa utamanya adalah bahasa Melayu.

Namun, jika kita itu orangnya punyai akal terpilih, kita dengan senang hati belajar bahasa tempatan untuk jadi lebih mengenali bangsa bodoh ini.

Setelah dilahirkan dan dibesarkan di tanah yang banyak memberi dari menerima ini, kita tidak fasih berbahasa Melayu dan kita pula marah apabila ada pihak yang mahukan bahasa ini diutamakan.

Kita tidak tahu apa motif mereka, namun tentu sekali ianya bukan bersandarkan korupsi lalu wajib kita ikut.

Apa kamu tidak malu tidak boleh berbahasa Melayu sedang kamu bangga menjadi rakyat Malaya? Mangaku cinta tetapi tidak mengenal kekasihmu - itu namanya gila bayang.

Pedulikan ketaatan kepada negara. Pedulikan kesatuan. Namun untuk melihat bahasa Melayu diangkat tinggi tidak sesekali, kita kata.

Tengok Mat Dang. Dia dikasihi hanya kerana beliau fasih berbahasa Melayu loghat Terengganu.

Dia beroleh isteri dan rancangan tivi sendiri hanya kerana pandai bahasa.

Apa kita ini tidak ingin disayangi, atau kita ini memang warga dalam negara yang suka dibenci?

Bahasa Melayu? Harkkkk, ptuiiih!!


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis di Kuantan, Pahang, yang masih marah kerana sebahagian daripada bandar itu pernah bertukar warna menjadi merah suatu masa dulu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS