Respon Qatar 'sangat negatif'
GLOBAL | Qatar dilaporkan memberi respon 'sangat negatif' terhadap tuntutan yang dibuat empat negara Arab, kata Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry.
Menurut agensi berita China Xinhua, Shoukry sebelum itu mengadakan mesyuarat di Kaherah dengan rakan sejawatannya dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain bagi membincangkan sekatan yang dikenakan terhadap Qatar.
"Perbincangan berkisar kepada perkembangan terbaharu mengenai krisis Qatar dan cara untuk menanganinya," katanya.
Empat negara tersebut memutuskan hubungan dengan Qatar pada 5 Jun lalu setelah mendakwa Doha 'menyokong kumpulan pengganas dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman mereka' dan mengenakan beberapa tindakan terhadap Qatar.
Negara Arab tersebut kemudiannya mengemukakan senarai tuntutan untuk menamatkan ketegangan dengan Doha, termasuk menggesa Doha menutup saluran televisyen Al-Jazeera dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran.
Qatar dilaporkan memberi respon terhadap tuntutan yang dikemukakan itu menerusi Kuwait yang bertindak sebagai 'orang tengah' bagi menyelesaikan krisis tersebut.
Respon berkenaan diterima empat negara Teluk itu semalam.
"Tiada tolak ansur terhadap sikap Qatar yang menyokong aktiviti keganasan," kata Shoukry, sambil menambah mereka mempunyai bukti yang menunjukkan Qatar menyokong keganasan dan kumpulan pelampau.
Beliau berkata keempat-empat negara Teluk itu akan mengadakan satu lagi pertemuan di Bahrain bagi membincangkan isu tersebut.
Pentadbiran Mesir yang diketuai Presiden Abdel-Fattah al-Sisi sememangnya tidak senang dengan Qatar setelah mendakwa Doha memberi sokongan dan melindungi anggota Ikhwanul Muslimin yang melarikan diri dari Mesir setelah organisasi itu diharamkan oleh kerajaan Mesir.
Ikhwanul Muslimin menyokong bekas Presiden Mohamed Morsi yang digulingkan tentera pada Julai 2013 setelah berlakunya tunjuk perasaan secara besar-besaran.
Semua negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kecuali Kuwait dan Oman terlibat dalam mengenakan sekatan terhadap Qatar.
-Bernama

